Kerajaan tidak telus projek mega saluran paip gas asli
KOTA
KINABALU, 29 Jun 2011:- Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Eric Majimbun
berkata Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak telus mengenai peruntukan
sebenar dan perbelanjaan dalam projek saluran paip gas Sabah-Sarawak (SSGP).
Beliau berkata, sehingga ke hari ini Kerajaan BN tidak memberi makluman
terperinci mengenai projek mega itu dengan melindungi jumlah peruntukan
sebenar dan perbelanjaan yang telah di buat.
"Pada awalnya Kerajaan BN berkata peruntukan bagi projek mega itu ialah
RM3.2 bilion, bagaimanapun saya difahamkan bahawa peruntukan itu telah
naik berlipat ganda," kata Eric dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, Perdana Menteri melalui jawapan bertulis pada sidang Parlimen
baru-baru ini berkata bahawa setakan ini 81 peratus daripada 521km
saluran gas projek mega itu telah siap.
Eric turut berkata Perdana Menteri juga memberitahu bahawa hampir 62
peratus peruntukan daripada Petronas telah dibelanjakan.
"Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak menyatakan jumlan peruntukan
sebenar," kata Eric yang juga Timbalan Presiden Parti Maju Sabah
(SAPP).
Menurut Eric, Perdana Menteri seterusnya memberitahu bahawa projek mega
itu dijangka mula beroperasi pada 2013.
Katanya, Perdana Menteri turut memberitahu bahawa setakat 1 Januari
2011, Sabah mempunyai simpanan minyak sebanyak 2 bilion tong yang boleh
bertahan selama 33 tahun.
Perdana Menteri turut memberitahu bahawa Sabah juga mempunyai simpanan
gas asli sebanyak 12 trilion kaki padu yang boleh bertahan selama 30
tahun.
Eric berkata, keengganan Kerajaan BN memperincikan peruntukan sebenar
mengenai projek mega itu menunjukkan bahawa hak rakyat Sabah terhadap
sumber yang dikeluarkan di negeri sendiri telah diketepikan.
Katanya, hak rakyat Sabah untuk menggunakan hasil sumber itu untuk
keperluan negeri ini untuk menjana tenaga supaya kadar tarif letrik
dapat dikurangkan juga telah dinafikan.
Beliau berkata, Kerajaan hanya mementingkan segelintir penyokong BN dan
hak rakyat Sabah diketepikan.
Katanya, Kerajaan BN sepatutnya sedar bahawa Sabah adalah negeri yang
mempunyai bilangan penduduk miskin di negara ini.
"Laporan yang dikeluarkan agensi kerajaan menunjukkan terdapat 5,988
keluarga miskin tegar di Sabah manakala miskin seramai 30,745 keluarga.
Manakala jumlah miskin mudah seramai 14,223 keluarga termasuk 3,203
lagi keluarga.
"Jumlah mereka yang telah mendaftar dengan e-kasin ialah seramai 53,982
keluarga, bagaimanapun masih ramai lagi yang belum mendaftar khasnya
rakyat dipendalaman yang hidup kais pagi makan pagi kais petang makan
petang,"katanya.
|