Selesaikan pembinaan Pusat Giat Mara Tenom
MP
Tenom, Adun Melalap diminta selesai pembinaan Pusat Giat Mara Tenom
TENOM, Jun 29, 2011: Ahli Parlimen Tenom dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)
Melalap diminta mengambil pendekatan bagi menyelesaikan pembinaan
Bangunan Pusat Giat Mara bersebelahan SMK Tenom yang pembinaannya
terbengkalai sejak 2004.
Naib Ketua Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP), Rudy Sulaiman Mairi ketika
menghubungi Utusan Borneo menyifatkan pembinaan infrastruktur institusi
pembangunan insan yang terbengkalai itu sangat merugikan rakyat di sini
kerana kalangan pelatih seolah-olah dibiarkan terus menumpang di salah
sebuah blok Pusat Kebudayaan Murut yang tidak mempunyai kemudahan
perkuliahan dan perbengkelan yang lengkap.
"Timbalan Menteri bagi kementerian yang berkaitan sudah melawat tapak
bangunan yang terbengkalai, jaminan juga sudah diberikan untuk
menyelesaikan perkara itu. Apakah masalahnya sekarang? Adakah kerana
tidak ada tindakan lanjut dari wakil rakyat di Tenom untuk menghubungi
pihak berkaitan?," ujar Rudy yang juga Ketua Pemuda SAPP Melalap.
Rudy
seterusnya meminta pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
meninjau penyebab projek itu terbengkalai dan seterusnya mengambil
tindakan perlu bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dalam penggunaan
wang rakyat ketika projek itu mula dilaksanakan.
Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi dan Adun Melalap, Datuk Radin
Malleh belum dapat dihubungi untuk memberikan penjelasan mengenai
persoalan tersebut.
Pada Januari 2010, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW),
Datuk Hassan Malik dilaporkan telah melawat tapak terbengkalai itu dan
telah menjanjikan peruntukan tambahan RM1 juta yang diperolehi dari
tabung Mara dan Giat Mara negeri-negeri lain bagi menyiapkan bangunan
itu.
"Disebabkan RMK-9 sudah berada di penghujung, kita tiada cara lain lagi
untuk mendapatkan peruntukan tambahan selain meminta Mara dan Giat Mara
lain memotong sedikit peruntukan mereka untuk disalurkan ke pusat ini,"
demikian Hassan dipetikan sebagai berkata.
Oleh Henry Bating
|