SAPP mengenai pilihanraya yang Bebas dan Adil
Oleh Datuk Richard Yong
KOTA KINABALU: Isnin, 4 Julai 2011: Bila-bila masa sahaja rakyat biasa
akan muncul mengambil bahagian dalam kempen untuk pilihanraya yang
bebas dan adil kerana pihak awam telah hilang kepercayaan terhadap
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) seperti yang termaktub dalam Artikel 114
(2) Perlembagaan Persekutuan.
Para pemimpin peringkat kebangsaan Bersih 2.0 seperti peguam Dato
Ambiga Sreevanasan dan Harris Ibrahim telah menunjukkan bahawa
pilihanraya bukan lagi domain ekslusif parti-parti politik. Di Sabah,
pada masa ini kita dapati aktivis generasi baru muda dan berani telah
muncul berkempen untuk pilihanraya yang bebas, adil dan bersih.
SAPP menyokong segala usaha aktivis tempatan seperti Atama dan
lain-lain yang berkempen melalui Malaysian Civil Liberties Movement (Pergerakan
Pembebasan Awam Malaysia) untuk mengetuai kempen Bersih 2.0 di Sabah.
Baru-baru ini, ketika pilihanraya kecil Batu Sapi yang telah diadakan
pada 4 November 2010, aktiviti seperti membeli undi dan perlakuan
rasuah lain telah dilakukan secara terbuka. Memandangkan ianya adalah
satu pilihanraya kecil maka terdapat ramai pegawai penguatkuasa
undang-undang dan "pegawai penguatkuasa kempen pilihanraya". Tetapi
para pemimpin Barisan Nasional (BN)secara terbuka mengagihkan wang
tunai dalam bentuk nota RM100, memberi hamper, komputer dan beraneka
pemberian yang di isikan dalam kereta sorong. Aktiviti itu dilakukan di
hadapan para pegawai SPR! Para pegawai polis berada dimerata-rata
tempat samada di kawasan bandar atau kampung. Semua pihak melihat
dengan jelas aktiviti membeli undi itu tetapi apa yang menghairankan
ialah pihak polis dan SPR tidak pula nampak.
Ini adalah beberapa kegagalan yang telah menambah kepada hilanganya
kepercayaan terhadap kredibiliti Suruhanjaya Pilihanraya.
BN membelanjakan kira-kira RM20 juta pada pilihanraya kecil itu, tidak
termasuk projek-projek kerajaan bernilai RM150 juta yang kebanyakannya
tidak dipenuhi. Stesyen radio kerajaan telah menyiarkan berita palsu
pada hari terakhir kempen supaya pihak pembangkang tidak mempunyai masa
untuk menepis kenyataan yang di buat.
Selepas pilihanraya kecil itu, SAPP telah membuat laporan kepada MACC (SPRM)
dan beberapa agensi penguatkuasa undang-undang. Tetapi malangnya, tidak
ada satu pun pegawai yang kisah untuk mengambil kenyataan lanjut dari
SAPP. Tidak ada susulan yang berlaku dari beberapa laporan yang di buat
SAPP itu. Jadi bagaimana rakyat akan mempercayai SPR? Apabila rakyat
hilang kepercayaan terhadap SPR, rakyat akan memprotes, seperti apa
yang sedang berlaku di Malaysia. Perhimpunan Bersih 2.0 berpunca dari
kegagalan SPR dalam menjalankan menerusi tugas perlembagaannya untuk
memastikan pilihanraya yang bebas, adil dan bersih.
Oleh itu, kami menggesa pihak polis meluluskan permit agar perhimpunan
Bersih 2.0 dapat diadakan di Kota Kinabalu pada 9 Julai ini. Pihak
polis tidak perlu dimaklumkan lagi bahawa pada 11 Jun lalu beberapa
batang jalan disekitar Padang Merdeka telah ditutup bagi mengadakan
Pesta Menuai Kebangsaan dan sekali lagi beberapa jalan diutup pada 29
Jun untuk memberi laluan kepada satu jamuan makan malam bersama Perdana
Menteri.
Minggu lepas, pesta Jom Heboh dengan Ketua Menteri telah menyebabkan
kesesakan jalan raya dan arah laluan di sekitar Kompleks Sukan Likas
dan Teluk Likas terpaksa diubah.
Laluan yang akan digunakan oleh mereka yang mengambil bahagian pada
perhimpunan Bersih 2.0 di Kota Kinabalu pada Sabtu petang itu nanti
pendek sahaja iaitu dari Padang Merdeka ke Istana Negeri.
Perhimpunan itu nanti mungkin menyebabkan sedikit saja gangguan
lalulintas pada laluan berkenaan dan oleh itu tidak ada sebab mengapa
ianya tidak boleh diluluskan pihak polis.
Pihak polis tidak sepatutnya mengeluarkan alasan-alasan tidak berasas
dan manasabah seperti kononnya perhimpunan itu dipengaruhi "pihak luar"
atau berunsur "Komunis". Sabah merupakan satu-satunya negeri di
Malaysia yang tidak pernah ada ancaman komunis.
Bagaimanapun, yang jelas satu-satunya ancaman pihak luar yang
menimbulkan masalah keselamatan di Sabah ialah pendatang asing tanpa
izin yang mana pihak penguatkuasa undang-undang telah gagal menghalang
mereka daripada memasuki Malaysia.
Datuk Richard Yong ialah Setiausaha Agung (Pengarah Operasi SAPP, 4
Nov 2010, Pilihanraya Kecil Batu Sapi)
|