Rakyat Weston derita
tanpa bekalan air
BEAUFORT,
Julai 19, 2011: Bekalan air merupakan keperluan asas yang amat
diperlukan, bukan sahaja untuk minuman, masakan dan kerja mencuci,
tetapi juga mencukupi pelbagai keperluan lain seperti air sembahyang
kenduri kendara dan sebagainya.
Pekan kecil Weston terletak kira-kira 28 KM dari Pekan Beaufort sering
mengalami gangguan bekalan hampir setiap bulan. Ditengah-tengah
kemeriahan penduduknya mengadakan kenduri arwah dan majlis perkahwinan
selain rutin harian, putusnya bekalan memang mendatangkan derita.
Menurut penduduknya (enggan namanya disiarkan) sudah 1 minggu masalah
ketiadaan air ini berlaku, menyebabkan kesukaran yang sukar digambarkan.
Namun apabila mendengar keluhan mereka, jelas terpancar perasaan hampa
terhadap wakil rakyat Lumadan Kamarlin Ombi.
Setiausaha Penganjur Pusat Parti Maju Sabah (SAPP) Jamain Sarudin yang
bersimpati dengan keadaan ini mendesak kerajaan agar memperbaiki segera
segala kelemahan yang mendatangkan mudarat kepada rakyat.
Beliau menyelar sikap tidak ambil kisah ADUN Lumadan YB Kamarlin Ombi.
Kegagalan Kamarlin dan kakitangannya memberikan perkhidmatan kepada
masyarakat amat dikesali. Ini menunjukkan bahawa rakyat selaku pengundi
hanya layak dilayan sewaktu pilihanraya sahaja, sedangkan selepas itu,
mereka dibiarkan begitu sahaja.
Menurut beliau lagi yang juga Naib Ketua Perhubungan Bahagian N.27
Lumadan, selain Weston, beberapa kampung lain turut terjejas teruk
seperti Lingkungan, Lubok, Bangkalalak, Bintuka dan Mintulut. Putusnya
bekalan air ini dikatakan berpunca daripada tekanan rendah di beberapa
tempat, dan ekoran daripada paip utama yang pecah akibat kerja-kerja
kontrak.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, paip utama di Jimpangah telah
pecah akibat kerja-kerja kontrak pemasangan paip gas, dimana pengendali
mesin pengorek tanah telah melakukan kecuaian sehingga paip tersebut
pecah.
Jamain berkata, sepatutnya Jabatan Air sentiasa mengawasi kerja-kerja
kontrak dan pihak yang berkenaan juga sepatutnya sentiasa mengadakan
hubungan duahala bagi mengelakkan masalah sedemikian berulang pada masa
akan datang.
Beliau turut menyarankan agar Jabatan Air, Unit KPLB N.27 Lumadan agar
memberikan makluman segera kepada penduduk agar mereka boleh bersedia
dan tidak terlalu terjejas.
Sedangkan Jabatan Air mempunyai kakitangan yang cukup ramai, dan tugas
memaklumkan ini tidak memerlukan segerombolan pekerja, sebaliknya
menggunakan media, radio dan tv yang menjadi milik sepenuhnya kerajaan.
Apatah lagi Jabatan mempunyai kenderaan sendiri yang boleh bergerak ke
kampung berkenaan dan memberikan makluman serta mengedarkan masalah.
Sekurang-kurangnya penduduk dapat bersedia. Wakil Rakyat juga perlu
menggunakan peruntukan tahunannya untuk menyewa lori bagi mengangkut
bekalan air lebih kerap dan dihantar ke kawasan terjejas bagi memenuhi
keperluan penduduk.
Beliau merasa amat bersimpati dengan nasib penduduk berkenaan, apatah
lagi ditengah kesibukan umat islam yang bakal mengerjakan puasa pada
bulan Ramadhan dalam masa 2 minggu akan datang.
Menurut Jamain lagi, setiap kali menyambut Hari Raya, masalah ketiadaan
air sering kali dijawap sebagai lebihan penggunaan air.
Maka adalah sepatutnya Jabatan berkenaan meningkatkan keupayaan mereka.
Beliau turut menggesa agar Menteri yang bertanggungjawab Tan Sri Pairin
Kitingan agar segera memantau perkara ini. Rakyat adalah penyumbang
pendapatan negeri melalui pembayaran bil dan sebagainya, maka haruslah
dilayan dengan seadilnya oleh Kerajaan.
|