Perasmian Cawangan Kg Mandurian Ulu dan Sinanggip
Pitas, Kudat: Rakyat jelata seharusnya sudah matang dalam percaturan
politik masa kini, demikian inti pati ucapan pemimpin-pemimpin SAPP
dalam satu majlis perasmian cawangan Parti Maju Sabah di Kg. Mandurian
Ulu dan Sinanggip di Daerah Pitas baru-baru ini.
Rakyat Sabah terutama sekali pemimpin-pemimpin kerajaan sebenarnya
sudah lama mengetahui hakikat sebenar masalah yang telah dan sedang
berlaku di negeri namun tidak berdaya untuk mengatasinya oleh kerana
berada dalam genggaman satu pihak parti politik bersifat kuku besi
dalam BN dan terpaksa akur kepada perintah parti itu yang mempunyai
kuasa besar dalam membuat keputusan.
Oleh sebab itulah maka SAPP telah mengambil keputusan muktamad untuk
keluar dari komponan BN pada tahun 2008 kerana telah melihat dengan
jelas ‘tsunami’ yang sedang melanda negeri Sabah sekarang dan bayangan
penderitaan yang bakal dihadapi oleh generasi akan datang yang lebih
teruk lagi jika dibiarkan seperti masalah Pendatang Tanpa Izin menjadi
warga negara, rampasan tanah orang kampung oleh kerajaan melalui GLCnya,
sumber asli alam Sabah dibolos serta mengabaikan hak dan kesejahteraan
rakyat Sabah dan sebagainya.
Walaupun kerajaan negeri ditadbir oleh orang Sabah sendiri tetapi
semuanya menunggu arahan dari Kuala Lumpur. Pemimpin-pemimpin kerajaan
negeri bagaikan boneka sahaja kerana sanggup menjadi ‘pak turut’ dengan
apa yang diperintahkan oleh kerajaan pusat, ujar Datuk Eric Majimbun.
Seperti kawasan-kawasan lain di Sabah, kampung ini juga tidak
terpinggir daripada masalah-masalah yang sangat merumitkan penduduk
kampung terutamanya kawasan tanah orang kampung yang belum dipastikan
sama-ada selamat untuk dimiliki dan keperluan asas seperti jalanraya,
balairaya dan sebagainya, kata saudara Yuslen Dukaloi selaku Ketua
Cawangan SAPP Kg. Mandurian Ulu.
Dalam pada itu, Datuk Hj. Mohd. Noor Mansoor telah menyatakan didalam
ucapannya bahawa inilah sebenarnya bukti kerajaan BN yang diterajui
oleh UMNO yang tidak berhati perut terhadap rakyat Sabah. Mereka cuma
tahu mengaut keuntungan hasil minyak dari tanah Sabah tetapi
pembangunan infrastruktur untuk rakyat diabaikan dan jika boleh tanah
Sabah juga mungkin diangkut oleh mereka ke Kuala Lumpur.
Apapun, segala rintihan dan keperitan rakyat yang sudah parah sekarang
ini akan dapat diatasi apabila Parti Maju Sabah menjadi kerajaan di
Sabah melalui PRU ke-13 dengan satu syarat sahaja iaitu mengundi
calon-calon SAPP yang akan bertanding nanti. Jangan juga kita tersilap
dengan mainan politik pihak pembangkang Pakatan Rakyat (PKR, DAP, PAS)
kerana mereka ini adalah parti dari Semenanjung yang sepatutnya datang
ke Sabah untuk membantu parti tempatan (SAPP) untuk menumbangkan BN dan
bukannya untuk berkuasa disini seperti UMNO, kata beliau.
Dalam perjumpaan dan perasmian cawangan SAPP ini, para hadirin yang
dianggarkan seramai 80 orang amat gembira dengan kedatangan para
pemimpin parti untuk memberi penerangan mengenai isu-isu semasa yang
cukup baik dan penting bagi mereka. Turut hadir sama dalam majlis ini
ialah En. Johnes Piut - Pengerusi CLC Pitas, En. Jaely Medong (Banggi),
En. Richard Jiun (Matunggong), En. Jack Giau (Kadamaian), Pn. Jayce
Michael dan Pn. Elizabeath Porok (Wanita Zon Utara).
|