SAPP janji rakyat dapat tanah melalui reformasi tanah
KOTA KINABALU, Ogos 16, 2011: Parti Maju Sabah (SAPP) bertekad
melaksanakan reformasi tanah dengan memberikan tanah adat kepada rakyat
tempatan.
Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee berkata reformasi tanah itu
akan dilaksanakan dengan segera sebaik saja parti itu mengambilalih
pucuk pimpinan Kerajaan Negeri selepas pilihanraya umum ke-13 akan
datang.
"Sebaik sahaja SAPP menjadi kerajaan nanti, satu reformasi tanah akan
dilaksanakan di mana tanah-tanah adat akan diberikan hanya kepada
pnduduk tempatan sahaja.
"Ini untuk mengelakkan para penduduk tempatan kehilangan tanah yang
telah mereka duduki sejak bergenerasi lalu," katanya disambut dengan
tepukan gemuruh daripada para penduduk di Kampung Cenderamata II Likas,
di sini, kelmarin.
Turut hadir pada majlis penyampaian Ole-Ole Hari Raya Aidilfitri itu
ialah tiga Timbalan Presiden SAPP, Amde Sidik, Datuk Liew Teck Chan dan
Datuk Eric Majimbun, Pengerusi Penganiur, Awang Talip, Setiausaha Agung,
Datuk Richard Yong, Naib Presiden, Dullie Marie, dan Penolong
Setiausaha Agung Suaib Mutalib.
Yong berkata, reformasi tanah itu bukan sesuatu yang mustahil untuk
dilaksanakan kerana ketika beliau menjadi Ketua Menteri dari 1996-1998,
beribu-beribu geran tanah telah diberikan kepada rakyat.
Beliau berkata, Kg Cenderamata II itu kini menjadi kampung simpanan
hasil usaha beliau dan para penduduk kampung membangunkan semula
kawasan itu yang telah hampir musnah akibat kebakaran besar pada 1997.
Pentadbiran kerajaan Sabah pada masa ini, ujarnya, memperlihatkan
banyak kes di mana para penduduk tempatan kehilangan tanah yang telah
lama mereka duduki kepada syarikat-syarikat swasta.
Katanya, kes seperti itu banyak berlaku terutamanya di daerah seperti
Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Keningau, Kudat dan Kota Belud.
"Satu kes berlaku di Sukau Sandakan di mana penduduk asal di kawasan
itu kehilangan tanah yang telah beberapa generasi mereka duduki kepada
syarikat swasta. Lebih menyedihkan ialah mahkamah telah mengarahkan
mereka menjalani hukuman penjara kerana menceroboh.
|