Usah pertikai kewibawaan SAPP menerajui Sabah
Kota
Kinabalu, Ogos 20, 2011: Sudah tiba masanya rakyat Sabah mengubah
persepsi dari terus membuat perbandingan di antara zaman PBS dan
kerajaan dalam penantian.
Sebaliknya rakyat Sabah harus percaya pada
kebijaksanaan dan kewibawaan parti tempatan memimpin kerajaan negeri.
Setiausaha Penganjur SAPP, Jamain Sarudin berkata, tohmahan dan
kata-kata kesat yang dilemparkan pada masa ini, kononnya SAPP jika
membentuk kerajaan takkan berjaya tanpa Federal hanya retorik yang
sengaja diada-adakan untuk memesongkan pemikiran rakyat terutama dari
rakan pembangkang sendiri. Jelas ianya menghina anak-anak Sabah dan
seolah-olah tahap pemikiran, pendidikan dan kewibawaan orang Sabah
masih ditahap rendah yang tak mampu berdiri di kaki sendiri.
Mengambil contoh kerajaan pembangkang di semenanjung Malaysia hari ini
masih mampu mentadbir negeri mereka tanpa bantuan Federal kerana anak
negeri mereka yakin akan dapat berbuat demikian. Anak Kedah yakin
terhadap kerajaan Pas di Kedah, demikian juga anak Pulau Pinang,
Selangor dan Kelantan. Jika bukan kerana ADUN DAP & PKR melompat parti,
kemungkinan Perak masih diperintah oleh Pakatan ketika ini. Sekiranya
anak negeri sendiri tiada keyakinan, maka keadaan yang sama bakal
dialami sama seperti sekarang apabila Sabah menjadi tunggangan
Putrajaya. Tidak mempunyai kuasa autonomi untuk memerintah dan membuat
keputusan terhadap negeri sendiri sebaliknya setiap keputusan perlu
mendapat keizinan 'tuan besar'.
Jamain yang juga Naib Ketua Pemuda Nasional berkata, parti pembangkang
seharusnya memusatkan serangan untuk menentang Barisan Nasional dan
bukannya terhadap sesama rakan. Sikap sesetangah pemimpin dan ahli dari
pembangkang yang mengapi-apikan pelbagai isu seperti SAS dengan
menyalahkan dan menuduh Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee
jelas menunjukkan tahap pemahaman dan pengetahuan rakan pembangkang
terlalu cetek dan lemah. Ini menunjukkan bahawa kewibawaan mereka amat
rapuh dan seolah-olah berada di belakang Barisan Nasional.
Beliau menjelaskan, kedua-dua wakil rakyat yang mewakili SAPP Datuk
Liew Teck Chan (Likas) dan Melanie Chia (Luyang) telah berulang kali
meminta agar Dewan Undangan Negeri meluluskan usul pengeluaran Kertas
Putih (white paper) berkaitan SAS bagi membolehkan dokumen-dokumen
tersebut menjadi tatapan awam. Seharusnya ahli dan pemimpin pembangkang
lebih tahu bahawa sesuatu dokumen kerajaan tidak boleh di dedah
sewenangnya kerana ada akta rahsia rasmi yang menghalangnya atau anda
bakal menghadapi tindakan undang-undang.
Sebagaimana diketahui umum PKR, DAP dan PAS di Sabah tidak mempunyai
kuasa untuk memutuskan sebarang keputusan parti, maka Jamain menggesa
agar Kepimpinan Parti-parti di dalam Pakatan Rakyat di Kuala Lumpur (PKR,
PAS & DAP) agar mengawal tindak-tanduk pemimpin dan ahli-ahli mereka di
Sabah jika tidak mahu dianggap sebagai barua dan ejen kepada Barisan
Nasional.
|