Etnik Lundayeh diajak perkasakan perjuangan SAPP
KEMABONG,
Ogos 21, 2011: Naib Presiden SAPP Jimmy Jawatah menyeru masyarakat
Lundayeh agar turut serta bersama sama dengan masyarakat lain di negeri
ini yang sudah pun bersedia untuk menumbangkan kerajaan kukubesi
Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO pada pilihanraya umu kali
ke-13 akan datang ini.
Tegasnya, walaupun etnik ini dikategorikan sebagai kumpulan minoriti
dikawasan disini namun ianya dapat menyumbangkan ideologi yang bernas
sebagai pemangkin kepada kekukuhan perjuangan SAPP ketika mendepani
pihak lawan BN-Umno.
Jimmy yang juga merupakan Ketua CLC Melalap dan Kemabong seterusnya
berkata, beliau yakin bahawa dengan kebangkitan rakyat pada
keseluruhannya menerusi peti undi walaupun segagah mana lawan yang
dihadapi pasti akan memihak kepada pembangkang SAPP kerana perjuangan
BN dan UMNO sudah lari daripada landasan yang sebenarnya.
Tambahnya lagi, pentadbiran kerajaan BN telah menyimpang jauh daripada
matlamat asalnya dan terlalu menghimpit perasaan rakyat kerana hak hak
asasi rakyat terutamanya masalah tanah tidak diurus dengan betul
sehinggakan ada rakyat merintih bimbang akan menjadi pelarian dibumi
sendiri kerana hak tanah adat yang diberikan kepada rakyat tetapi
diberi status geran komunal sudah pasti ianya bukan miliknya lagi.
Jimmy
berkata, banyak contoh yang boleh dijadikan bukti kelemahan kerajaan BN
berhubung masalah tanah khususnya di Mukim Rundum dan Tomani yang tidak
berpuas hati dengan pemberian geran berkelompok atau lebih dikenali
sebagai geran komunal keatas bekas tanah adat.
"Masyarakat Murut disitu telah berjuang sehabis habis untuk menuntut
hak mereka mengikut tanah adat tetapi setelah kerajaan bersetuju
memberikannya kepada rakyat dengan syarat ianya diberi status geran
berkelompok…apakah ertinya pemberian itu sama ada ianya telus dan jujur
atau sebaliknya," tegas Jimmy.
"Kita bersimpati dan kesihan melihat keadaan mereka dimana ada
diantaranya hampir hampir merengkok ke dalam penjara kerana mereka
didakwa kononnya menceroboh kawasan larangan hutan simpan tetapi
bagaimana mereka boleh lari atau mengelakkan kawasan itu sedangkan
mereka sudah berada disitu sejak turun temurun dari nenek moyang mereka
lagi," tambah Jimmy lagi.
Selain itu, Jimmy turut membangkit mengenai ribuan graduan tempatan
menganggur kerana tidak mendapat peluang pekerjaan dari Jabatan Jabatan
Persekutuan atau Negeri kerana kuasa otonomi Jabatan Jabatan khususnya
Jabatan Persekutuan yang memberi hak dan kuasa melantik pengisian
jawatan termasuk pembangunan infrastruktur.
"Ketua Ketua Jabatan tidak ada kuasa langsung dalam semua perkara
tersebut, melainkan ianya perlu dirujuk kepada kerajaan Perseketuan
terlebih dahulu untuk mendapatkan kelulusan. Apa sudah jadi kalau semua
perkara pun dirujuk kepada Persekutuan, sudah pastilah tindakan dan
proses itu terlalu lambat," tegas Jimmy.
Malahan terdapat kejadian dimana beberapa anak anak muda dipedalaman
gagal dalam temuduga untuk jawatan guru sandaran sedangkan dalam
tawaran jawatan itu memberi fokus dan peluang kepada pemohon daripada
pedalaman.
"Kita sedih mendengar berita itu apabila jumlah mencecah ribuan lepasan
SPM dan STPM hadir ke temuduga itu namun selepas itu seorang pun tidak
ada yang lulus temuduga tersebut. Anehnya lagi, semua keputusan dan
pegawai yang menemuduga semuanya didatangkan khas dari Putrajaya…(Jadi),
Pegawai Jabatan Pelajaran Sabah bagaimana? Apakah peranan mereka dalam
soal ini? Sepatutnya JPS diberi peranan mengendalikan tugas tersebut,"
tambah beliau lagi.
Jimmy menegaskan bahawa, perjuangan SAPP jelas menfokuskan kepada
masalah tempatan untuk mengembalikan hak hak anak Negeri Sabah yang
semakin lama semakin jauh terhakis sedangkan dalam dokumen 20 Perkara
masih segar kepada ingatan seluruh rakyat di negeri ini bahawa hak
asasikan telah terjamin mengikut Perlembagaan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat Tahunan (AGM)
Cawangan SAPP Kg Baru Jumpa Seberang yang diketuai Jamres Musa 40, dan
dihadiri kira kira 50 orang. Turut hadir mantan CDO Kemabong Saul
Salleh.
|