Harapan untuk berHari Raya musnah dijilat api
KOTA KINABALU, Ogos 23, 2011: Kejadian kebakaran di Kampung Sembulan
Lama dua hari lalu telah memusnahkan hasrat dua keluarga untuk
menyambut Syawal yang akan menjelang seminggu lagi.
Encik Suhaimi
Sulaiman yang mempunyai sembilan orang cucu berasa bersyukur kepada
Tuhan walaupun tinggal sehelai sepinggang, keseluruhan keluarganya
terselamat dari bala yang menimpah.
Semua harta benda dan dokumen
penting keluarganya habis dijilat api. Lebih menyedihkan keluarga
beliau, anak yang menetap di Singapura, dijadualkan akan balik ke Sabah
pada 29hb Ogos ini untuk sama-sama merayakan Hari Raya disini.
Encik Alimat Hj. Wahid juga melahirkan rasa kesyukurannya mendapati
kesemua keluarganya terselamat. “Tidak kiralah harta benda yang hilang,
pokoknya tiada nyawa yang terkorban” kata beliau dengan sedih.
Dalam lawatannya, Setiausaha Agung SAPP, merangkap Pengerusi SAPP N.17
Tg. Aru, Datuk Richard Yong We Kong, menemui kedua-dua keluarga dan
melahirkan rasa sedih dan simpati beliau terutama sekali dalam
menyambut perayaan Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi. Beliau sempat
menghulurkan sumbangan peribadi kepada kedua-dua keluarga yang malang.
Beliau menasihatkan keluarga Sulaiman dan Alimat untuk bersabar dan
menghadapi kejadian itu dengan hati terbuka dan berserah kepada takdir
Tuhan. Datuk Yong berharap pihak berkuasa akan dapat memberikan apa
juga bentuk bantuan untuk meringankan beban keluarga-keluarga malang
tersebut.
Keluarga Sulaiman dan Alimat mengucapkan terima kasih kepada Datuk
Richard Yong dan rombongan yang terdiri dari Encik Bahari Aship dan
Encik Kasim Busok, Ahli jawatankuasa SAPP N.17 yang sudi melawat dan
prihatin terhadap malapetaka yang menimpa mereka.
Oleh Media SAPP
|