Apakah pencapaian
kita boleh banggakan untuk Pairin?
Oleh
Peter Marajin
Kita pernah terdengar beberapa isu-isu politik di kawasan Kota Belud (di
Kadamaian khasnya) yang ditimbulkan oleh sebilangan pihak yang
berkepentingan (dan mungkin juga oleh orang-orang yang tidak
berkepentingan tetapi suka menimbulkannya). Isu-isu ini, mungkin juga
relevan di kawasan-kawasan lain di Sabah, seperti berikut:
Isu No. 2: “TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA JOSEPH PAIRIN KITINGAN (‘PAIRIN’)
ADALAH SUMBER PERPADUAN BANGSA KDM. BAGAIMANA BANGSA LAIN DAN
PEMIMPIN-PEMIMPIN BANGSA LAIN BOLEH MENGHORMATI PAIRIN JIKA KDM SENDIRI
TIDAK MENGHORMATI PAIRIN?”
(Nota: Ungkapan di atas pernah dilafazkan sendiri oleh YB Datuk Herbert
Timbun Lagadan pada ucapannya di perasmian Pesta Kaamatan peringkat Mukim
Kelawat di Balairaya Kg. Pangi, Kelawat, Kota Belud pada 06 Jun 2010).
Komen saya: Pertama, perghormatan rakyat terhadap seseorang pemimpin itu
adalah datangnya dari kebanggaan hati yang ikhlas oleh rakyat kerana
pemimpin terbukti telah berbakti dengan jujur kepada rakyat. Penghormatan
itu bukanlah diberi kerana dia adalah seorang pemimpin dan dengan itu dia
mesti dihormati.
Kedua, haruskah KDM menghormati Pairin selama-lamanya walaupun beliau
tidak lagi berupaya menjadi sebagai seorang pemimpin yang dihormati di
mata orang KDM? Ramai dikalangan orang KDM sekarang menganggap Pairin
bukan lagi seorang wira KDM seperti yang pernah mereka lihat dalam
perjuangan politiknya kira-kira 20 tahun yang lalu. Beliau sekarang nyata
gagal meneruskan aspirasi perjuangan KDM sebagai antara bangsa yang maju
dalam bumi mereka iaitu Sabah yang kaya-raya ini. Beliau sekarang tidak
lebih dari menjadi seorang “figure head” kepada orang KDM dengan gelaran
Huguan Siou pada dirinya, tetapi gelaran itu tidak berupaya langsung
menaikkan mertabat bangsa KDM di mata bangsa lain di Negara ini.
Ketiga, jika rakyat KDM yang dianggap oleh YB Herbert sebagai tidak
menghormati Pairin, beliau sepatutnya menudung jari terlebih dahulu kepada
Dompok, Kurup dan yang lainnya kerana tidak setia dan tidak menghormati
perjuangan Pairin dengan meninggalkan beliau pada 1994 dan bersekongkol
dengan Political Masters di KL untuk menjatuhkan Pairin dan PBSnya. Yang
anihnya pula ialah Pairin dan YB Herbert tidak sedikitpun merasa terkilan
dengan ketidak-hormatan Dompok, Kurup dan yang lain itu terhadap Pairin
tetapi sekarang sama-sama pula bersekongkong dengan Political Masters yang
menjatuhkannya pada 1994 untuk meneruskan dasar-dasar yang memudaratkan
orang KDM dalam jangka masa panjang di Sabah (sila lihat antara perkara
yang saya sebutkan dalam Isu No. 1 dalam posting saya sebelum ini).
Keempat, sebagai seorang pemimpin politik veteran KDM (sejak dari tahun
1976 dan sekarang hampir setanding dengan Gaddafi atau Mubarak dari segi
rekod dalam politik) apa yang kita orang KDM boleh banggakan sangat dengan
pencapaian Pairin untuk orang KDM? Hampir sukar dilihat dengan mata kasar.
Orang KDM masih merempat dengan kemiskinan di bumi sendiri yang sangat
kaya. Pencapaian KDM dalam bidang pelajaran, professional dan perniagaan
masih terlalu rendah. Sebagai bangsa yang hidup menerokai tanah orang KDM
tidak mempunyai ladang kelapa sawit yang besar berbanding dengan bangsa
lain, kecuali sebagai pekebun kecil (itupun tanah NCR dari nenek-moyang
mereka di “rampas” tanpa belas kasihan oleh pihak tertentu). Terlalu
jarang kita lihat orang KDM yang telah berjaya dalam bidang perniagaan (pengusaha,
pemaju, financer dan sebagainya). Orang KDM tidak ramai mempunyai
gedung-gedung dan bangunan-bangunan komersial. Sebagai Presiden KDCA yang
sudah begitu lama memegang jawatan itu seharusnyalah KDCA memain peranan
penting dalam usaha membantu orang KDM meningkatkan juga ekonomi mereka
selain dalam memajukan kebudayaan. Lihat sahaja persatuan USIA yang
mempunyai misi yang besar untuk ahli-ahlinya dalam usahanya dibidang
komersial sehingga terdirinya atas hartanya gedung “1 Borneo” sekarang.
KDCA pula, selain bangunan yang ada sekarang, apa aktiviti perniagaan yang
diusahakannya? Kita semua masih tertanya-tanya dan tercari-cari sehingga
sekarang. Sedangkan rumah-rumah kebudayaan di kawasan tapak bangunan KDCA
hanyalah digunakan sekali setahun, walaupun sudah berkali-kali
dibincangkan semenjak 20 tahun yang lalu tentang jenis aktiviti perniagaan
di rumah-rumah kebudayaan tersebut.
Jadi, persoalannya ialah apakah pencapaian Pairin dalam tempohnya sebagai
pemimpin KDM selama ini yang boleh kita banggakan dan seterusnya menjadi
satu sebab KDM harus menghormati beliau?
(…… Bersambung dengan Isu No.3 - jangan kemana-mana!)
|