SAPP bukanlah sebuah parti Cina
Oleh
Peter Marajin
Isu No. 3: "KDM (DAN BUMIPUTRA MUSLIM) TIDAK DAPAT MENYOKONG SAPP SEBAB
SAPP ADALAH SEBUAH PARTI CINA"
Komen saya: Pertama, SAPP bukanlah sebuah parti Cina. Dalam Perlembagaan
parti SAPP tiada sebarang perenggan pun yang menyebut bahawa SAPP adalah
parti untuk kaum Cina sahaja. Malah SAPP adalah parti untuk semua tanpa
mengira kaum. Hanya secara kebetulan Presidennya adalah seorang berbangsa
Cina. Sama juga dengan PBS dimana secara kebetulan ketuanya dari bangsa
Kadazandusun (KDM) tapi PBS bukan parti perkauman. Parti-parti Perkauman
ialah UMNO (dimana dalam nama parti itu sahaja terdapat perkataan "Malay"
atau Melayu), MCA (dimana terdapat perkataan "Chinese" pada namanya), MIC
(dimana terdapat perkataan "Indian" pada namanya), PAS (dimana terdapat
perkataan "Islam" pada namanya) dan UPKO (dimana terdapat perkataan "Kadazan
Dusun Murut" pada namanya). SAPP ialah sengkatan "Sabah Progressive Party"
dimana tidak langsung menyebut nama kaum.
Kedua, di Sabah harmoni kaum telah wujud sejak zaman nenek moyang kita
lagi dan ini diturunkan ke generasi sekarang. Kita tidak persoalkan apa
bangsa pemimpin kita asalkan dia bersikap adil. Sesungguhnya di Sabah
sebelum kita menubuhkan Malaysia kita sudah ada "1Malaysia". Itu sebabnya
parti berbilang kaum yang setia dengan perjuangan rakyat Sabah telah lebih
menarik dan menambat hati orang Sabah (seperti Berjaya dan PBS pada suatu
ketika dulu). Hanya apabila politik perkauman yang dipelopori oleh parti
dari seberang kita telah terpengaruh dan mulai melihat seseorang itu
dengan ‘suspicion’ kerana dia dari bangsa atau ugama yang berlainan.
Ketiga, Datuk Yong Teck Lee ("YTL") tidak pernah meminta supaya dilahir
sebagai seorang Cina. Demikian juga Datuk Joseph Pairin Kitingan tidak
memohon dilahirkan sebagai Kadazandusun, sama seperti Datuk Seri Anwar
Ibrahim tidak pernah mengemukakan permohonan supaya dilahirkan sebagai
seorang Melayu dan berugama Islam. Semua ini adalah kehendak Tuhan supaya
kita sebagai maklukNya hendaklah datang dari berbagai-bagai bangsa dan
keturunan. Jika rancangan Tuhan ialah supaya penduduk dunia ini hendaklah
datang dari SATU bangsa sahaja maka dunia kita hari ini tidak diduduki
dengan berbagai-bagai bangsa tapi hanya SATU bangsa atau ugama sahaja,
mungkin bangsa Cina atau Arab atau yang lain sebagai pilihanNya. Pokoknya,
bukan bangsa yang menjadi persoalan tetapi apa yang dilakukan oleh
seseorang itu supaya kita semua hidup dalam suasana harmoni. Hidup harmoni
hanya dicapai jika seseorang itu mengutamakan keadilan kepada semua dalam
menjalankan kewajipannya sebagai pemimpin dan makluk Tuhan.
Keempat, YTL telah berjuang untuk menuntut keadilan untuk Sabah dimana
hak-hak yang dijanjikan untuk Sabah pada 1963 telah dihakiskan. Saya rasa
perjuangan seperti ini perlu disokong tidak kira pemimpin yang berjuang
itu ialah seorang Cina, KDM atau Bumiputra Muslim. Jika perjuangan YTL
bukan untuk Sabah dan rakyat Sabah beliau (dan beberapa pemimpin SAPP yang
lain) tidak sanggup meninggalkan BN yang boleh menjamin dan memberikannya
jawatan yang setaraf menteri dan projek-projek ratusan juta ringgit yang
memberi keselesaan hidupnya seumur hidup.
Kelima, walaupun kita KDM mempunyai parti sendiri atau parti yang diketuai
oleh bangsa sendiri ini tidak menjamin bahawa parti itu dapat membantu KDM
dalam menyelesaikan masaalah ekonomi yang menghantui dan membuntui mereka
sekian lama. Sebenarnya kita mempunyai PBS, UPKO dan PBRS tetapi apa yang
parti-parti ini telah sumbangkan untuk kesejahteraan kaum KDM selama ini?
(sila lihat Isu No. 1 dan Isu No. 2 dalam posting sebelum ini).
Keenam, seorang ahli politik veteran Sabah pernah berkata bahawa dalam
memberi sokongan kepada pemimpin-pemimpin Sabah yang berjuang untuk
hak-hak Sabah supaya kita tidak tenggelam di bumi sendiri, kita harus
jangan memilih bangsa pemimpin-pemimpin itu. Analogi beliau lebihkurang
begini: Katakan kamu adalah seorang KDM sedang terapung-apung di tengah
lautan besar kerana kapal yang kamu naiki telah karam dilanda taufan.
Setelah hampir mati lemas dan tenggelam menunggu bantuan, tiba-tiba sebuah
bot laju dengan seorang di dalamnya sedang menuju kepada kamu untuk tujuan
menyelamat kamu dari maut. Dan kebetulan penyelamat itu seorang Cina.
Adakah kamu tengok dulu muka orang itu dan berkata "Mada oku dika, tulun
kou Cina!" (Saya tidak mahu kamu kerana kamu orang Cina!). Atau kamu
bersyukur dan berterima kasih kepadanya kerana sudi datang menyelamat kamu?
Ketujuh, kerjasama erat antara kaum di Sabah sudah menjadi satu fakta yang
tidak boleh disangkal. Masih ingat pada 1976 dimana KDM, Cina dan
Bumiputra Muslim bekerjasama menyingkir USNO dari meneruskan takta
Kerajaan? Dan pada 1985 KDM dan Cina dapat bekerjasama menumbang Kerajaan
Berjaya (Bumiputra Muslim ketika itu masih pada USNO dan Berjaya tetapi
ikut serta kerjasama pada penggal kedua PBS). Kerjasama ini harus
diteruskan untuk Sabah. Kalau kita pernah dan boleh bekerjasama dengan
kuat sekali pada masa yang lalu, mengapa kali ini tidak boleh?
(…… Bersambung dengan Isu No.4 )
|