Kalau bukan Yong, siapakah kita boleh percayai?
Oleh
Peter Marajin
Isu No. 5: "YONG TECK LEE BUKAN PEMIMPIN YANG KITA BOLEH PERCAYAI UNTUK
MEMIMPIN SABAH"
Komen saya:
Pertama, soalnya ialah jika bukan Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee ("YTL")
siapa lagi pemimpin-pemimpin kita di Sabah yang SANGAT-SANGAT kita
percayai? Kita sudah memberi peluang kepada Pairin, Dompok dan Kurup dan
yang lain-lain untuk berjuang mempertahan atau mengembalikan hak-hak Sabah
yang terhakis. Tetapi daripada terus berjuang mereka sekarang
bersekongkong dan bersekongkol dengan Political Masters mereka dari KL
yang mempunyai dasar yang tidak menguntungkan penduduk Sabah sekarang ini
dan dalam jangka masa panjang, tetapi memudaratkan kita.
Ke-2, untuk mencari pemimpin yang SEMPURNA dari segala-galanya memang
susah. Kita sebagai manusia biasa tidak sunyi dari membuat kesilapan, sama
ada anda sebagai seorang professional seperti doktor, jurutera, akauntan,
peguam, guru dan sebagainya semuanya berbuat silap. Demikian juga jika
anda seorang petani, peniaga, penoreh getah, seorang suami dan seorang
bapa dalam rumah-tangga, kita dalam hidup ini akan membuat kesilapan
sekali sekala. Pokoknya, kita harus belajar dari kesilapan dan terus
berusaha kearah yang baik. Dari segi kepimpinan pula, khasnya dalam
konteks Sabah, kita sebenarnya tidak mencari pemimpin-pemimpin yang
sempurna (perfect leaders) tetapi pemimpin-pemimpin yang BERANI.
Pemimpin-pemimpin berani ialah mereka yang tidak takut menyatakan bahawa "warna
ini hitam" walaupun dipaksa oleh Political Masters supaya mengaku "warna
ini putih". Mereka tidak takut menyatakan Sabah "ditindas dan
dianaktirikan" walaupun dipaksa menyatakan kepada penduduk Sabah bahawa
kita "diberi peruntukan beribu-ribu juta ringgit" tetapi penduduk Sabah
pula adalah yang termiskin di Malaysia. Mereka tidak takut bercakap benar
walaupun dipaksa berbohong.
Saya teringat cerita dongeng mengenai seorang maharaja (entah, dari negara
mana!) yang sangat suka dengan pakaian yang mewah dan cantik. Suatu hari
panglima-panglima istana telah buat satu helah. Mereka memberitahu
maharaja bahawa mereka telah menempah pakaian maharaja yang sangat cantik
dan istimewa khas untuknya dari seorang tailor yang masyur dari negara (entah,
dari negara mana!). Pakaian ini harus dipakainya dalam satu perarakan hari
kebesaran negara itu. Pada hari perarakan itu dengan beribu-beribu
rakyatnya berbaris ditepi jalan menyambut maharaja itu dengan menunggang
seekor kuda dan dengan "memakai" pakaiannya yang sangat istimewa itu.
Pakaian itu memang tiada sebenarnya tetapi maharaja itu DITIPU untuk "memakainya"
dengan kata-kata bahawa jika dia tidak nampak pakaian itu ditubuhnya maka
dia adalah seorang yang bodoh. Dan semua orang istana yang melihat
maharaja itu harus berkata pakaian maharaja sangat-sangat cantik kerana
diarah oleh panglima tadi untuk berbohong, jika tidak mereka adalah bodoh.
Dan semua rakyat jelata juga diarah berbuat demikian, jika tidak mereka
adalah orang-orang bodoh. Siapalah yang mahu kena panggil "bodoh" kan?
Untuk tidak dipanggil sebagai bodoh dan percaya bahawa pakaian keramat itu
sedang dipakainya yang tidak boleh dilihat melalui mata kasar, dan kerana
semua orang kata pakaiannya cantik, maka maharaja tadi menunggang kuda
dengan bertelanjang bulat! Sehinggalah seorang budak lelaki berumur 6
tahun yang sedang berbaris bersama ayahnya dalam perarakan tersebut
melihat maharaja itu dan tertawa terbahak-bahak sambil bertanya, "Ayah,
siapa orang gila TELANJANG BULAT itu, "tontolou’nya nampak betulkan
ayah?!" Maharaja tadi telah terdengar suara budak itu dan barulah dia
sedar bahawa dia sebenarnya telah terpedaya.
Dalam konteks cerita tadi, siapa pemimpin-pemimpin Sabah yang berani
berteriak bahawa kita "diperdayakan" oleh Political Masters dari KL? Saya
rasa pada masa ini hanya dua orang sahaja pemimpin Sabah yang berani
berbuat demikian iaitu YTL dan Dr. Jeffrey. Dr. Jeffrey sebenarnya sangat
konsisten dengan perjuangannya menuntut hak-hak Sabah dari mula
perjuangannya dalam politik. Sekarang YTL dengan tuntutannya mengenai
otonomi Sabah yang dijanjikan pada 1963 tapi tidak pula ditunaikan.
Sesungguhnya mereka berdua ini adalah ‘budak 6 tahun’ dalam cerita
maharaja di atas dan tidak silu-silu bersuara tentang apa yang benar dan
apa yang salah semata-mata untuk Sabah. Mereka berdua berani berkorban
untuk kita semua. Yang lainnya cuma bersikap seperti ‘orang-orang istana’
sahaja dan tidak sanggup dipanggil sebagai ‘bodoh’ (kecuali Pairin suatu
ketika dulu). Adakah kita orang Sabah juga harus menjadi seperti ‘rakyat
jelata’ tadi yang ikut sahaja pembohongan itu supaya tidak dipanggil ‘bodoh’?
Ke-3, apakah sebenarnya yang dilakukan oleh YTL semasa dalam BN sehingga
dilemparkan dengan berbagai-bagai tuduhan oleh sebahagian kita? Jika ianya
berhubung dengan Amanah Saham Sabah (SAS) YTL sudah menerangkan dengan
sejelas-jelasnya. Malah beliau meminta supaya Suruhanjaya DiRaja
ditubuhkan, tetapi tidak diperdulikan kerana mungkin mereka takut
terbongkar siapa punya angkara sebenarnya yang telah menjahanamkan SAS.
Lagipun bukankah dalam tempoh YTL menjadi Ketua Menteri terkeluarnya
beribu-ribu keping geran NT yang selama ini tidak dikeluarkan walaupun ada
pemohon yang menunggu sehingga berpuluh-puluh tahun lamanya (malah ada
yang mati tidak dapat menunggu). Hasilnya, penduduk Bumiputera yang
mendapat faedah kerana tanah NT hanya untuk Bumiputera. Seperkara yang
kita jangan lupa ialah semasa dalam BN YTL tidak dapat berbuat apa-apa
lebih daripada yang dibenarkan sebab beliau juga terikat (tangan dan kaki)
dengan dasar Political Masters dari KL. Tetapi YTL telah mendapat
kesedaran dan sanggup keluar dari ikatan BN.
Ke-4, jika kita menunggu sehingga seorang pemimpin Sabah yang SEMPURNA
datang menjelma, kemungkinan besar kita tidak akan menjumpai pemimpin ini
walaupun menunggu 1,000 tahun dari sekarang, ataupun 100 tahun dari
sekarang. Jadi, terpaksalah kita gunakan pemimpin yang BERANI walaupun ada
kecacatan pada dirinya. Adakah kita sanggup berkata dengan nada keyakinan
100% bahawa Anwar atau Lim Kit Siang atau Najib adalah pemimpin-pemimpin
yang sempurna berbanding dengan YTL dan Dr. Jeffrey? Pernah pemimpin Sabah
sebelum ini berkata, "Pak Lah jika kamu tidak hormat Sabah lebih baik
berhenti jadi PM". Selain ciri-ciri keberanian kita kenalah juga memilih
pemimpin yang mempunyai "the lesser evil of the two devils" sebagai
landasan. Bagi saya YTL dan Dr. Jeffrey adalah "lesser evil".
(…… Bersambung dengan Isu No.6 )
|