Gugurkan cukai
tambahan 6%
Oleh:
Mail Mathew
TENOM: Ketua Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) zon Pedalaman
Rudy Sulaiman Mairi turut memandang serius kegiatan syarikat
telekomunikasi yang melanggar arahan pihak kerajaan supaya tidak
mengenakan cukai tambahan sebanyak enam peratus kepada setiap pelanggan
ketika menambah nilai kredit telefon bimbit mereka.
Katanya, beliau kesal kerana kegiatan tersebut yang sudah lama berlaku
meskipun amaran telah pun diberi namun kegiatan itu masih berterusan
disebabkan kurangnya pemantauan oleh pihak berkuasa selepas itu.
"Inilah yang dikatakan sudah terhantuk baru terngadah…dimana rakyat
sudah ramai mengeluh tidak berpuas hati dengan kos tambahan itu, kini
kerajaan baru sedar dan bertindak," kata beliau dalam satu kenyataan
disini pada Isnin.
Rudy berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri
Datuk Dr Yee Moh Chai baru baru ini yang mendakwa sebelum ini pihaknya
telah memberi amaran akan mengambil tindakan kepada syarikat
telekomunikasi terbabit jika gagal memenuhi nasihat kerajaan
menggugurkan cukai tambahan sebanyak enam peratus.
Rudy yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda SAPP Pusat seterusnya
berkata, beliau tidak ada sebab untuk tidak bersetuju dengan tindakan
Datuk Dr Yee itu jika ianya memberi keadilan dan menfaat yang baik dari
aspek kepenggunaan kepada awam.
Ketika ditanya berhubung bukti ianya sudah diamalkan sekian lama Rudy
berkata, " Kamu boleh tanya dikedai kedai jual kredit hand fon sama ada
di Keningau atau diTenom, kalau kamu beli harga RM5.00 mesti harganya
lebih 50 sen menjadikan harganya RM5.50".
"Ini semua tidak betul…sedangkan mereka (peniaga) sudah mendapat
percentage daripada syarikat telekomunikasi…(Jadi), kalau mereka minta
lagi enam peratus daripada pelanggan pastilah pengguna yang menjadi
mangsa bebanan. Kita juga sudah timbulkan perkara ini kepada pihak
tertentu tapi senyap sahaja," tambahnya.
Dalam pada itu, Rudy turut menggesa pihak syarikat telekomunikasi dan
kerajaan agar menumpukan kerja kerja menaiktaraf sistem perkhidmatan
telekomunikasi yang lebih berwibawa termasuk penambahan stesen menara
diseluruh kawasan.
Dengan berbuat demikian tegasnya, pengguna boleh bermenfaat dengan
penggunaan telefon cellular dengan lebih jelas dan mudah daripada asyik
membincang keuntungan yang banyak tetapi membebankan rakyat (pengguna).
|