Perbetul fakta Kemerdekaan
SIPITANG,
14 Sep 2011: Fakta sejarah tentang kemerdekaan Sabah melalui
pembentukan Malaysia perlu diperbetulkan agar generasi masa kini dan
akan datang tidak terkeliru, kata Presiden Parti Maju Sabah (SAPP)
Datuk Yong Teck Lee.
Katanya, Sabah mencapai kemerdekaan apabila bersama-sama Sarawak,
Singapura dan Malaya membentuk Malaysia pada 16 September 1963.
Sabah tidak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kerana pada masa itu
Negara Malaysia masih belum wujud manakala Sabah yang dulu dikenali
sebagai Borneo Utara masih berada di bawah jajahan British.
"Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman juga tersilap apabila
mengatakan usia kemerdekaan Sabah pada tahun ini mencecah 54 tahun
sedangkan Sabah mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia .
"Nasib baik seorang pegawai kanan Kerajaan Sabah iaitu Pengarah Arkib
Negeri Sabah saudara Datu Tiga Belas memperbetulkan kenyataan Musa itu
dengan mengatakan usia kemerdekaan Sabah sebenarnya ialah 48 tahun.
"Keberanian Datu Tiga Belas memperbetulkan fakta sejarah itu harus
dipuji kerana tidak ada seorang pun anggota kabinet negeri atau pegawai
kanan Kerajaan Sabah yang berani tampil memperbetulkannya," kata Yong
pada majlis Hari Raya Aidilfitri SAPP peringkat negeri Sabah di sini.
Katanya, semua pihak termasuk para pemimpin politik parti pemerintah
Barisan Nasional (BN) di Semenanjung juga mengatakan usia kemerdekaan
Malaysia ialah 54 tahun walaupun sebenarnya berusia 48 tahun.
Beliau berkata ada kalangan pemimpin pembangkang dari Pakatan Rakyat
(PR) turut berkata Malaysia berusia 54 tahun dan salah seorang
daripadanya ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, seorang
pemimpin kanan DAP, salah sebuah parti komponen PR.
Yong berkata, kekeliruan mengenai kemerdekaan Malaysia harus
diperbetulkan.
Terdahulu, Timbalan Presiden SAPP Haji Amde Sidik berkata, beliau
mendapati 90 peratus pelajar salah sebuah institusi pengajian tinggi di
negeri ini tidak dapat membezakan antara 31 Ogos 1957 dengan 16
September 1963.
Mengulas lanjut mengenai kemerdekaan, Amde menambah bahawa barisan
terakhir lirik lagu Sabah Tanah Air Ku turut menjelaskan bahawa Sabah
sebenarnya adalah sebuah negeri Merdeka dan tidak sepatutnya dilayan
seperti sebuah jajahan seperti yang diamalkan Kuala Lumpur pada masa
ini.
"Barisan terakhir lirik lagu itu menyebut Sabah Negeri Merdeka dan ini
bererti sesebuah negeri yang merdeka sepatutnya mempunyai kuasa
Autonomi dalam segala hal ehwal pentadbiran," katanya.
|