KL punca Ah Long banjiri Sabah
SIPITANG,
14 Sep 2011: Kebanjiran Ah Long dari Semenanjung di Sabah
adalah kerana kesilapan Kuala Lumpur, kata Presiden Parti Maju Sabah
(SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee.
Yong berkata, Ah Long dari Semenanjung Malaysia mula memasuki Sabah
secara beramai-ramai apabila Kuala Lumpur memperkembangkan Akta
Peminjam Wang 1951 ke negeri ini beberapa tahun lalu.
"Saya telah mengutus surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi pada April 2008 menggesa beliau membatalkan cadangan
memperkembangkan Akta itu ke Sabah.
"Perdana Menteri menjawab bahawa tujuan Akta itu dikembangkan ke Sabah
adalah semata-mata untuk membendung kegiatan Ah Long.
"Bagaimanapun, seperti yang kita lihat pada hari ini, terlalu ramai Ah
Long dari luar Sabah beroperasi di seluruh negeri ini sehinggakan ada
yang membuka pejabat masing-masing setelah mendapat lesen apabila Akta
itu dikembangkan ke sini," katanya pada majlis Hari Raya Aidilfitri
SAPP peringkat negeri Sabah di sini.
Katanya, apa yang menyedihkan ialah ramai kakitangan kerajaan di
seluruh negeri berhutang dengan Ah Long itu sehingga buku dan kad akaun
bank mereka ditahan.
Beliau berkata, para Ah Long itu didapati turut beroperasi di kawasan
pekan-pekan kecil dengan menjadikan penjaja kecil di Pasar Tamu sebagai
mangsa.
"Sebenarnya Kerajaan Sabah boleh halang Akta itu daripada dikembangkan
ke Sabah tetapi Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah pada hari ini
tidak berbuat demikian," kata Yong.
Katanya, Sabah sudah mempunyai Akta Peminjam Wang yang dikenali sebagai
Money Lender Ordinance 1901 (Ordinan Peminjam Wang 1901) yang
digunapakai di negeri ini sejak zaman penjajahan British.
Yong berkata, Kuala Lumpur tetap berkeras ingin kembangkan Akta
Peminjam Wang 1951 walaupun Sabah sudah mempunyai Ordinan sendiri.
Katanya, situasi itu mengingatkan beliau kepada usaha Kuala Lumpur
untuk memperkembangkan Akta Kerajaan Tempatan ke Sabah ketika beliau
memegang jawatan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
"Saya telah menolak usaha Kuala Lumpur itu. Jika perkara itu berlaku
maka rakyat Sabah kena membayar apabila membuang air besar kerana Kuala
Lumpur berhasrat menswastakan kerja-kerja pembentungan kepada sebuah
syarikat dari sana yang dikenali sebagai Indah Water Konsortium,"
katanya.
|