Pemuda SAPP terapkan nilai-nilai murni di kalangan belia
MELALAP, Sep 21, 2011: ANAK KAMPUNG satu satunya jolokkan yang pernah
di anugerahkan oleh 'orang terdahulu' apabila melihat kelicikan dan
ketangkasan seseorang belia dalam apa juga aktiviti terutamanya dari
segi aktiviti kesukanan yang dikuasai dengan begitu tangkas dan gagah
mampu memukau sesiapa yang menontonnya.
Semangat sedemikian yang cuba diketengahkan semula oleh Pengerusi
Pergerakan pemuda SAPP Zon Pedalaman Rudy Sulaiman Mairi ketika
merasmikan perlawan Futsal antara zon Daerah mengundi CLC Melalap yang
telah diadakan di Gelanggang sukan Futsal di Kg Sawang pada Isnin.
Di peringkat akhir seramai 6 pasukan berjaya ke peringkat akhir iaitu
Kalang, Kanar, Lagud, Pulong, Melalap dan Sawang dimana seterusnya
mereka akan bertarung pula diperingkat daerah daerah (CLC) di Pedalaman
dan pasukan yang menjadi "Juara" akan mewakili Pedalaman ke peringkat
Sabah.
Rudy yang mengilhamkan acara tersebut menjelaskan bahawa setiap peserta
tidak semestinya seseorang belia itu telah menjadi ahli SAPP sebaliknya
ianya terbuka kepada semua belia belia yang belum berparti yang antara
lain modus operandi aktiviti itu berkonsepkan "Inklusif" dan bukan "Eksklusif".
"Kita juga tidak bermaksud untuk mengheret generasi muda supaya
berkecimpung dalam politik dalam usia seawal itu namun tujuan kita
adalah sebagai pengisian masa yang banyak terluang bagi para belia
daripada mereka terjerumus dengan pelbagai gejala sosial negatif yang
akhirnya akan merosakkan masa depan mereka," tegas Rudy.
Selain itu, Rudy turut menegaskan bahawa aktiviti sedemikian adalah
sejajar dengan matlamat dan hala tuju perjuangan SAPP yang memberi
penekanan terhadap masa depan para belia dan beliawanis di negeri ini
supaya golongan ini tidak akan terpinggir didalam arus pembangunan
perdana lebih lebih lagi jika SAPP ditakdirkan mengambil alih tampuk
kerajaan pada PRU13 kelak.
"Kita tidak mahu menunggu sehingga SAPP sudah mengambil alih kuasa
kerajaan baru mula menyusun semula program belia tetapi kita hendaklah
bermula dari sekarang setakat mana yang kita dapat lakukan yang seada
adanya," tambahnya lagi.
Beliau menambah bahawa matlamat perjuangan SAPP bukan sahaja tertumpu
kepada pembangunan negeri dan Negara malah akan turut memainkan peranan
yang lebih efektif untuk mempastikan golongan belia dan beliawanis
terus terbela dan meletakkan mereka diatas puncak yang lebih bermaruah
dan berwibawa tinggi.
Oleh: Ambrose M Matthew
|