Konsepsi SAPP parti Cina adalah tidak benar
TENOM, Sep 23, 2011: Naib Presiden SAPP Jimmy Jawatah menegaskan bahawa
rakyat jelata di negeri ini mempunyai tugas getir yang amat penting
menjelang PRU13 untuk mempastikan kerajaan BN yang ditunjangi UMNO
tumbang pada pilihanraya umum kali ke-13, dimana selepas itu negeri ini
dapat diurus tadbir dengan adil dan saksama mengikut lunas lunas
demokrasi berasaskan kehendak Perlembagaan Negara.
Katanya, dengan syarat bahawa pembangkang khususnya SAPP perlu mendapat
sokongan padu daripada rakyat bagi merealisasikan misi dan visi
tersebut dimana tanpa sokongan mereka pastilah BN akan terus berkuasa
manakala rakyat akan menderita dengan masa depan yang gelap untuk
selama lamanya.
"Kita mahu semua lapisan rakyat tanpa mengira warna kulit dan keturunan
sama ada golongan tua atau muda perlu bangkit menggarap tugas penting
ini demi menyelamatkan maruah bangsa dan hak asasi kita yang semakin
terhakis ini," kata beliau pada Sabtu lepas sambil mendapat sorakan
hadirin kira kira lebih seratus orang bertempat dirumah Maturin
Mohammad di Kg Sawang, Melalap.
Jimmy yang juga Pengerusi CLC Melalap berkata, terdapat beberapa
tanggapan rakyat yang mendakwa kononnya SAPP berkonsepkan perjuangan
untuk membela masyarakat Cina adalah tidak benar dimana status
perlembagaan parti itu berkonsepkan perjuangan berbilang bangsa
(multi-racial).
"Sesungguhnya Presiden SAPP diterajui oleh pemimpin Cina tetapi barisan
saf kepimpinan SAPP adalah berbilang bangsa seperti pemimpin KDM,
Melayu, Cina yang melambangkan penyertaan semua kaum yang ada di Sabah.
Tidak seperti UMNO yang berjuang berkonsepkan satu kaum sahaja iaitu
kaum Melayu," tegasnya.
"Modus operandi kepimpinan BN adalah mirip kepada sistem "divide and
rule" dimana Umno mewakili suku Melayu, manakala Parti Gerakan, MCA
mewakili Cina, MIC dan PPP mewakili kaum India…selain itu parti parti
lain dalam kelompok komponen BN diSabah dan Sarawak adalah sebahagian
daripada usaha mengecilkan suara mereka dengan mengkelompokkan kaum
kaum lain supaya ianya bersais kecil yang mudah bagi Umno menguasainya
kerana Umno kelompok yang bersais besar," tambah beliau lagi.
Jelas Jimmy lagi, strategi itulah yang digunakan Umno dalam mengekalkan
kuasanya di Negara ini dimana Umno melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN)
menggalakkan semua kaum yang bukan Melayu mempunyai parti masing masing
sepertimana yang terbukti sekarang ini dimana berlaku lambakan parti
parti politik yang ramai bilangannya.
Adalah kerana tegasnya lagi, ianya dilakukan sebegitu rupa merupakan
sebahagian daripada strateginya untuk meminimakan suara majoriti kaum
lain dalam konteks dasar digunapakai untuk merealisasikan "divide and
rule" terus berperanan dengan berkesan bagi mencapai matlamat dan cita
cita Umno yang mahu membolot kuasa mutlak di Negara ini untuk selama
lamanya.
"Kita selama ini telah didungukan oleh kepintaran Umno menggerakan
strategi secara senyap divide and rule yang diwarisinya daripada
penjajah British yang berjaya menundukkan pejuang Melayu dizaman
sebelum Malaya Merdeka pada tahun 1957," jelas immy lag.
"Inilah perkara yang kita perlu sedar dan kita hendaklah berusaha
melepaskan diri kita daripada cengkaman taktik Umno itu dan seterusnya
kita berazam untuk mengubah sistem yang ada sekarang kepada suatu
sistem yang lebih baik dan mesra rakyat," tambahnya.
"Kita juga mengharapkan supaya hasrat SAPP tidak disalah tafsirkan
kepada suatu pengertian yang negatif tetapi niat kita sekadar ingin
membetulkan kepincangan pentadbiran kerajaan BN termasuklah dokumen 20
Perkara perlu dikaji kepincangannya dan seterusnya dilaksanakan supaya
tidak timbul kesangsian rakyat berhubung perkara tersebut yang kini
banyak dipersoalkan rakyat," kata Jimmy.
Di akhir majlis, Jimmy turut menerima borang keahlian SAPP yang
diwakili Latujin untuk menyertai perjuangan SAPP.
Oleh: Ambrose M. Matthew
|