Mahu lawan BN atau mahu menangkan BN?
Oleh:
Jamain Sarudin (Sep 26, 2011)
Hakikat bahawa kehangatan pilihanraya semakin terasa bahangnya
menjadikan semua pihak mahu menjadi pemenang isu khususnya di Sabah.
NCR, SAS, Royalti Minyak, Hak di dalam 20 perkara dan isu berkaitan
PATI, Kabotaj, harga barang keperluan, minyak masak, gula dan
sebagainya.
Soalnya siapa layak bertanding menentang Barisan Nasional masih menjadi
tandatanya disebabkan parti-parti pembangkang masih belum duduk membuat
rundingan. Penduduk diluar Bandar disogok dengan berbagai analisa dan
andaian sehingga sudah ada pihak mula mencanangkan isu kaum dan agama.
Zahirnya yang bercakap ini adalah orang Sabah sendiri yang sudah
terbiasa dengan gaya hidup Sabahan yang penuh dengan keceriaan,
muhibbah dan toleransi. Tapi mula berubah hanya kerana percaturan
politik dan terikut-ikut budaya politik Malaya.
Paling menyedihkan bila mereka mula mencanai parti ‘A’ adalah parti
Cina dan parti ‘B’ adalah parti nasional. Sejak bila pula kita dididik
dengan perkataan kau adalah Bajau dan dia adalah Kadazan sementara yang
satu lagi adalah Cina. Hanya kerana nak mempromosikan partinya maka
mula ujud senario sedemikian yang sangat menjijikan. Lantaran isu
pemenang rakyat demi untuk menjatuhkan Barisan Nasional menjadi perkara
ke-3 dan bukan lagi keutamaan. Ini juga pastinya di dorong oleh sikap
dan niat seseorang yang ingin menjadi calon dalam pilihanraya..
sedangkan parti yang satu lagi masih mendiamkan diri siapa yang bakal
mereka calonkan.
Suka atau tidak suka, semua pihak perlu menjalinkan kerjasama,
pengorbanan dan sedikit rasa rendah diri amatlah penting demi mencapai
objektif penubuhan parti masing-masing. Pakatan Rakyat perlu berjuang
berhabisan untuk menawan Putrajaya dan dengan kedudukan mereka di
Semenanjung Malaysia hari ini jelas menunjukkan adanya perubahan ketara
dalam stail propaganda Barisan Nasional yang sudah pasti perlu
ditangani segera dan sebaiknya oleh Pemimpin Pakatan sendiri.
Sebaliknya Pakatan Rakyat perlu mengorbankan rasa angkuh dan bersikap
lebih terbuka apabila menyentuh Sabah dan Sarawak. Di Sabah sebagai
contoh Pakatan Rakyat gagal mendapatkan kerusi setelah 2 kali percubaan.
PRU11 Pakatan gagal sepenuhnya dan dipalit malu apabila calon Bebas
memenangi 1 kerusi DUN (Kuala Penyu-Datuk John Ghani) dan calon bebas
memang di parlimen Sandakan (Chong Hon Min). sementara PRU12 yang
dikatakan Tsunami politik melanda Malaysia ternyata gagal diadaptasi
oleh jentera PR apabila mereka hanya berjaya memenangi kerusi parlimen
Kota Kinabalu (Hiew King Cheu) dan DUN Sri Tanjung (Jimmy Wong)
kedua-duanya dari DAP. Begitupun sikap tamak dan haloba mereka jelas
tergambar apabila menyaksikan pertembungan calon DAP dan PKR dibeberapa
kawasan menyebabkan mereka terlepas beberapa kerusi lagi.
Sepatutnya ianya menjadi pengajaran amat berguna buat PR yang mempunyai
ikatan longgar di Sabah. Sikap acuh tak acuh dan terlalu bergantung
pada populariti pemimpin semenanjung untuk meningkatkan sokongan
pengundi menyaksikan PR tidak boleh berdiri di atas kaki sendiri.
Akibat kebergantungan itu juga melunturkan keyakinan rakyat bahawa PR
tidak akan berjaya membina sokongan mantap dan bakal gagal dalam
pilihanraya kelak. Kedudukan PR di Semenanjung tidak boleh diambil kira
kerana semua taiko mereka berada di Semenanjung dan boleh berunding.
Akan tetapi di Sabah mereka terpaksa menunggu keputusan Malaya.. apa
nak jadi kalau mereka berjaya membentuk kerajaan kelak. Pasti kerajaan
itu bakal dipenuhi dengan si "pengangkat kaki" dan ramailah "Lau San
Chu" akan mengambil kesempatan. Masing-masing nak jadi kaya dan
berkedudukan.
Maka adalah tiba masanya Pakatan Rakyat memberikan laluan kepada Parti
Tempatan iaitu Parti Maju Sabah (SAPP) di bawah pimpinan Datuk Yong
Teck Lee, seorang pentadbir yang lebih berpengalaman dan sudah pasti
mampu menggalas tugas dengan baik sama seperti yang beliau telah
buktikan sepanjang 2 tahun menjadi Ketua Menteri 96-98. Tentu banyak
pihak ingin juga mengaibkan beliau dengan memalitkan isu FMU dan SAS.
Sebagaimana janji beliau kepada rakyat didalam beberapa ceramah "sebaik
sahaja SAPP memeggang tampuk Kerajaan, kertas putih akan dikeluarkan
melalui kuasa-kuasa Dewan undangan negeri". Ianya bukan sekadar sebuah
janji tetapi boleh direalisasikan melalui Dewan Undangan Negeri. Agak
pelik bagi sebuah kerajaan yang mendambakan sokongan rakyat dan memalu
gong 1 malaysia dengan slogan "Rakyat Di dahulukan, Pencapaian
diutamakan" sedangkan dalam kes SAS ianya tidak sedemikian.
Sikap berdolak dalik kerajaan ini sudah cukup jelas hanya untuk
memanjangkan cerita dan menyembunyikan bukti yang mengaitkan mereka.
Takut gajah besar tumbang dan nyamuk menjadi pemenang. Atas dasar
apakah Kerajaan terus mendiamkan SAS dikeluarkan kertas putih sedangkan
pelabur yang terlibat adalah rakyat. Nyata sekali jauh terpesong
daripada slogan 1 Malaysia mereka. Ini menjadi penyebab kenapa isu ini
terus cuba dipadamkan dalam senarai Dewan Undangan Negeri Sabah hari
ini. Rakyat Sabah dan pelabur saham SAS dinafikan hak mereka untuk
mengetahui perkara sebenar yang berlaku. Penafian ini sebenarnya
berniat jahat hanya untuk menjahanamkan karier politik Yong.
Parti Maju Sabah (SAPP) hari ini jelas membuktikan bahawa mereka
benar-benar serius dalam memperjuangkan isu rakyat dan perkara 20.
Terbaru memfailkan saman kepada kerajaan Malaysia berkaitan isu
Bornionisasi. Selain terus menerus memperhebat tekanan kepada kerajaan
negeri berkaitan isu Tanah, Kabotaj, Letrik dan sebagainya.
Pemimpin Pakatan Rakyat harus bersama-sama Parti Maju Sabah dalam satu
misi bagi membolehkan Barisan Nasional ditumbangkan pada PRU13 kelak.
Kerana pada ketika ini, SAPP merupakan satu-satunya Parti Politik yang
tiada pergeseran dalaman, pemilihan parti berjalan dengan lancar dan
usaha serta kegiatan mereka terbukti lebih menyerlah berbanding parti
yang lain. Akhirnya kita tiba pada persoalan adakah Pakatan Rakyat
berusaha untuk melawan Barisan Nasional atau memenangkannya!
|