Sudah jatuh ditimpa tangga
Sungguh memilukan...itulah yang dapat dikatakan
semasa kunjungan Parti Maju Sabah (SAPP) ke kawasan Kg. Serudong Ulu,
Kalabakan yang terletak sejauh 130KM daripada Bandar Tawau yang memakan
masa sehingga kira-kira 4 jam untuk sampai ke destinasi.
Program lawatan Kg. Serudung Ulu merupakan aktiviti susulan SAPP diatas
jemputan penduduk kampung yang terdiri dari suku kaum Murut diketuai
oleh Jamal Lawingon sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada
SAPP kerana melalui YB Melanie Chia, iaitu ADUN Luyang yang telah
membawa isu tanah adat (NCR) mereka ke Dewan Undangan Negeri pada April
lalu. Wakil penduduk juga sempat menyerahkan sendiri memorandum
bantahan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman yang turut
mendapat liputan luas dalam muka depan akhbar tempatan.
Sebelum ini Pemuda SAPP dan SabahTV telah membuat penggambaran
dokumentari pendek yang telah disiarkan secara online melalui
Sabahtv.net yang turut menjadi bahan rujukan SUHAKAM. Dokumentari
pendek tersebut telah merakamkan kisah sejarah Serudung yang terletak
diantara persempadanan Malaysia-Indonesia ketika konfrontasi tahun 60an
dan tekanan yang dihadapi oleh penduduk kampung kerana diusir oleh
syarikat pemaju sawit sehingga rumah-rumah penduduk kampung telah
dirobohkan dan tanaman dirosakkan.
Terdahulu
rombongan SAPP yang telah diberi penghormatan oleh penduduk kampung
untuk merasmikan balairaya yang dibina secara bergotong-royong oleh
penduduk kampung sendiri. Sambutan yang penuh tradisi dan kibaran
bendera SAPP telah memberikan suntikan baru dan sebagai mesej kepada
rombongan SAPP supaya menggandakan perjuangan untuk mempertahankan hak
Sabah dan nasib anak negeri yang ditindas yang kini semakin berleluasa
di Sabah.
Dalam ucapan alu-aluan wakil penduduk Serudung, En. Enggang Bin
Lingkasing, beliau memaklumkan bahawa kampung Serudong Ulu telah lama
wujud sejak sebelum Konfrontasi Malaysia - Indonesia dalam tahun 60an.
Namun demikian, keadaan hidup orang Murut disini tidak pernah berubah
mahupun menikmati kehidupan selesa walaupun setelah 48 tahun Sabah
merdeka bersama Malaysia.
Walau
bagaimanapun, penduduk Murut Serudong Ulu amat berterima kasih kepada
pihak British yang pada masa itu telah memberikan tanah yang mereka
duduki sekarang ini dan juga menganggapnya sebagai tanah adat kaum
Murut sejak beberapa generasi terdahulu. Menurut Enggang lagi, beliau
berasa sedih kerana apa yang dinikmati oleh penduduk kaum Murut selama
ini telah lenyap dan menjadi igauan mimpi yang ngeri pada hari - hari
seterusnya.
"Sebelum ini sekurang - kurangnya 70 puluh buah rumah masih berada di
atas tanah adat tetapi apabila rumah - rumah tersebut dirobohkan oleh
syarikat kelapa sawit, sekarang hanya tinggal 20 buah rumah sahaja yang
ada. Orang kampung telah merayu kepada Kerajaan dan juga wakil rakyat
Kalabakan dan juga telah melaporkan kepada pihak Suhakam dan PACOS
supaya tanah adat kami dikembalikan. Malahan pihak orang kampung juga
telah menghantar satu memorandum kepada Ketua Menteri pada bulan Ogos
lalu berhubung masalah yang kami hadapi tetapi sampai sekarang rayuan
dan seruan kami tidak diendahkan. Kami juga tidak mengetahui bahawa
tanah adat kami telah dijual oleh siapa," ujar En. Enggang dengan nada
sayu.
"Bagaimana
kami meneruskan kehidupan untuk membiayai anak-anak kami tanpa tanah
untuk kami bercucuk tanam memandangkan kami tidak mempunyai apa - apa
pekerjaan. Hanya bergantung pada kehidupan bercucuk tanam sahaja kami
boleh meneruskan kehidupan harian kami. Anak-anak kebanyakannya tidak
bersekolah kerana keadaan kami serba kekurangan dan tidak berkemampuan.
Kami seolah - olah dipinggirkan dan tiada satu bantuan pun datang.
Bantulah kami." ujar En. Enggang lagi.
Dalam ucapan Melanie Chia, beliau memberi jaminan bahawa masalah tanah
adat akan diselesaikan oleh SAPP melalui Reformasi Tanah bila SAPP
membentuk Kerajaan Negeri Sabah selepas PRU13 nanti. Draf reformasi
berkenaan kini sudah diperingkat akhir yang diketuai oleh Timbalan
Presiden SAPP, Datuk Eric Majimbun dan akan diumumkan dalam sedikit
masa lagi. Pengumuman Melanie Chia tersebut telah mendapat tepukan yang
gemuruh dari penduduk kampung sebagai satu tanda harapan baru.
Melanie Chia yang juga Ketua Wanita SAPP Pusat berasa kesal kerana
wakil rakyat tidak turun padang untuk menjelaskan kepada penduduk
kampung berkenaan skim bantuan yang boleh dinikmati oleh penduduk
kampung seperti Skin Bantuan Kanak-Kanak, Ibu Tunggal, E-Kasih dan
sebagainya yang boleh dipohon dari Kerajaan.
"Maklumat - maklumat penting sebegini seharusnya disalurkan dan sampai
ke akar umbi supaya rakyat tahu dan boleh meringankan kehidupan
masyarakat setempat," ujar Melanie Chia.
Isu tanah adat (NCR) bukan sahaja berlaku di Serudong Ulu tetapi juga
di seluruh Sabah amnya. Baru-baru ini SUHAKAM telah melaporkan bahawa
lebih 1000 aduan berkenaan tanah telah diterima oleh SUHAKAM dan
daripada jumlah tersebut 824 kes adalah dari Sabah.
Pada
bulan September lalu, Ahli Majilis Tertinggi SAPP, Peter Marajin
melalui kenyataannya akhbar menegaskan bahawa terdapat 482 buah rumah
di dalam lingkungan 4 buah kampung di Tongod yang melibatkan Kg
Napagang, Maragatan, Lumingkau dan Tongodon yang kebanyakannya terdiri
dari kaum etnik Dusun - Sungei juga menghadapi resiko kehilangan tanah
adat disebabkan oleh perluasan ladang kelapa sawit oleh syarikat luar
tanpa menghiraukan kesan terhadap penduduk tempatan.
Marajin yang juga merupakan seorang peguam berkata, beliau akan
memantau perkembangan secara terperinci melalui kes-kes mahkamah
berkaitan isu tanah yang dihadapi oleh anak negeri Sabah.
Turut bersama dalam lawatan tersebut ialah Penasihat SAPP Datuk Mohd
Noor Hj. Mansoor yang juga mantan Menteri Kewangan Sabah, Ahli Parlimen
Tawau Datuk Chua Soon Bui, Ahli Majlis Tertinggi SAPP Yong Chung Kim,
Kenneth Goh dan Philicica Tong, Naib Ketua Exco Pemuda Chester Pang,
Naib Ketua Exco Wanita Pn. Irene Chan, Exco Wanita Suminah Lintung,
Exco Pemuda John Stephen dan pemimpin-pemimpin SAPP Tawau serta
Kalabakan.
|