Progam basmi kemiskinan gagal capai matlamat
KOTA
KINABALU: Pengakuan Ketua Menteri bahawa "kadar miskin tegar masih tinggi
disebabkan sistem e-Kasih" menunjukkan program pembasmian kemiskinan di
peringkat negeri dan persekutuan telah gagal.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee mendakwa, para
pemimpin itu tidak fokus terhadap program pembasmian kemiskinan dan
kumpulan sasar yang layak.
"Program E-Kasih" ini sepatutnya untuk membasmi kemiskinan tetapi sekarang
Ketua Menteri menyalahkan sistem ini atas angka miskin tegar (4,657 orang),
katanya dalam satu kenyataan disini pada Selasa.
"Kekeliruan ini memberi gambaran buruk kepada pentadbiran BN. Ini membuat
kita tertanya-tanya apa yang sudah berlaku dengan Amanah Ikhtiar Malaysia
dengan tabung RM236 juta dan Azam Niaga, Azam Khidmat, Azam Tani dan Azam
Kerjanya.
"Terdapat juga KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) dan begitu
banyak program mengelirukan yang terpaksa ditangani kakitangan awam,"
katanya.
Awal tahun ini, Yong berkata, Menteri Persekutuan Datuk Sharizat Jalil
mengumumkan terdapat 4,255 kes e-Kasih di Sabah daripada sejumlah 54,180
kes di seluruh negara.
"Ini bermakna kes miskin e-Kasih telah bertambah 400 kes tahun ini.
"Setakat akhir tahun lalu, ketua menteri mengistiharkan Tawau sebagai "Miskin
Sifar" yang tidak ada sesiapa pun mempercayainya kerana garis kemiskinan
didefinisikan sebagai pendapatan keluarga RM540 dan miskin tegar RM270,"
katanya.
"Untuk melihat kemiskinan di Tawau anda hanya perlu memandu disekitarnya
itu.
"Penduduk asal yang dihalau dari tanah adat dan kampung tradisi mereka
dalam rezab hutan diburu kemiskinan. Disember lalu, Bank Dunia
mengistiharkan Sabah sebagai negeri paling miskin di Malaysia.
"Harga barang asas, pengangkutan dan sewa terus naik sementara pendapatan
tidak berganjak. Belanjawan Negara 2012 tidak mengandungi apa-apa yang
boleh merancakkan ekonomi. Sebaliknya, Perdana Menteri menaikan caruman
KWSP sebanyak 1 peratus hingga 24 peratus yang tidak boleh digunakan oleh
pekerja mahupun majikan," katanya.
Belau menambah, kemiskinan tidak boleh dihapuskan dalam pejabat-pejabat
berhawa dingin mengunakan komputer.
"Peperangan terhadap masalah kemiskinan memerlukan keseluruhan jentera
kerajaan, pendidikan berkualiti untuk memecahkan kitaran kemiskinan,
memperkasakan anak-anak muda melalui latihan kemahiran, meningkatkan
produktiviti di luar bandar melalui pemilikan tanah dan jabatan-jabatan
kerajaan untuk memudahkan bukan menghalang pertumbuhan ekonomi," katanya.
Oleh Chris Maskilone
|