Gejala rampasan tanah menghantui masyarakat etnik bumiputra Sabah
SANDAKAN,
Oktober 23, 2011: Tanah
merupakan nadi dan berkait rapat dengan kehidupan masyarakat etnik
bumiputera Sabah. Namun kehidupan ini semakin lama semakin terhakis dan
menjadi satu mimpi igauan yang ngeri terhadap masa depan generasi anak
watan Sabah tulen yang bergantung hidup pada tanah. Ini disebabkan
kejadian rampasan tanah yang semakin berleluasa oleh pihak - pihak yang
berkepentingan dalam ketamakan mengaut keuntungan tanpa menghiraukan
keperitan yang ditanggung oleh kaum etnik bumiputera.
Pada 19 Oktober 2011, Pemuda SAPP dibantu oleh SabahTV telah membuat
liputan mengenai satu kes rampasan tanah yang berlaku di Kg Sukau,
Kinabatangan yang melibatkan suku kaum Orang Sungai dimana kes telah
dibawa ke Mahkamah Tinggi, Sandakan untuk dibicarakan.
Menurut En. Katiff Bin Kussoi wakil penduduk suku kaum Orang Sungai semasa
ditemubual, Kg. Sukau telah dibuka pada tahun 1988 dan mendapat
persetujuan dan galakan daripada Pemungut Hasil Tanah, Jabatan Tanah dan
Ukur yang melibatkan 30 buah keluarga dan pada tahun 1990 pemohonan tanah
telah dibuat oleh penduduk setelah dipindahkan daripada tebing
Sg.Kinabatangan. Namun setelah 10 tahun menunggu, permohonan tanah mereka
yang melibatkan seluas 191.60 hektar (473.50 ekar) telah ditolak oleh
Jabatan Tanah bertarikh 8/11/2000 tanpa alasan yang kukuh. Tetapi tanpa
diketahui geran tanah telah dikeluarkan kepada sebuah syarikat tempatan
pada 11/4/2002 yang mana pada asalnya pemohonan syarikat tersebut juga
telah ditolak.
“Bagaimana geran tanah boleh dikeluarkan oleh Pejabat Tanah memandangkan
permohonan tanah syarikat tersebut juga telah ditolak mengikut laporan
penyiasatan tanah yang dibuat setelah pemohonan kami dibuat dari awal lagi”,
ujar En Katiff dengan nada marah dan merasa terkilan.
|
 |
“Selama ini suku kaum Orang Sungai merupakan penduduk awal yang membuka
kawasan tanah dengan kelulusan Pejabat Tanah dan secara tiba – tiba geran
telah dikeluarkan kepada syarikat tersebut dan kami telah diugut dan
diusir dari tanah kami. Malahan tujuh individu orang kampong telah
ditangkap dan telah menjalani hukuman penjara selama 2 minggu dan dipaksa
menerima wang sagu hati sebanyak RM5,000.00 sebagai balasan keluar
daripada tanah adat kami kerana dikatakan menghina perintah mahkamah,”
tambah beliau lagi.
Penduduk Kg. Sukau berbangsa suku kaum Orang Sungai melalui kenyataan
bertulis yang ditunjukkan mengatakan bahawa mereka tidak akan berganjak
daripada tanah adat mereka walaupun didesak oleh mahkamah kerana
berpendapat dan akur dasar - dasar kerajaan yang mengutamakan kepada orang
- orang yang tidak bertanah dipraktikkan yang mana mereka bergantung hidup
hasil pertanian sawit tanaman mereka sebagai sumber pendapatan untuk
kesinambungan generasi anak cucu mereka.
|
 |
Menurut wakil rakyat ADUN Sukau YB Saddi Abdul Rahman melalui kenyataan
akbarnya sebelum ini telah mengatakan bahawa kes tanah yang melibatkan
penduduk suku kaum Orang Sungai, Kg Sukau telah selesai tetapi disangkal
oleh penduduk kampong sebagai menutup berita daripada pengetahuan umum.
Walaubagaimanapun, proses perundangan masih lagi berjalan sehingga
sekarang semasa berita ini dilaporkan dan diharap pembelaan kes ini dibuat
secara adil. Temubual penduduk suku kaum Orang Sungai ini boleh diikuti
dalam laman web www.sabahtv.net.
Pada bulan September lalu, Pemuda SAPP juga telah membuat liputan berita
mengenai rampasan tanah yang berlaku terhadap suku kaum Orang Murut,
Serudong Ulu, Kalabakan yang melibatkan tanah seluas 4000 ekar oleh
syarikat kelapa sawit. Bukan sahaja itu rampasan tanah juga berlaku di
kawasan Tongod, Kudat, Pitas, Banggi dan tempat - tempat lain di Sabah
yang tidak mengira kawasan yang melibatkan keluasan kecil sehinggalah ke
ratus ribu ekar. Phenomena rampasan tanah yang berlaku berleluasa di Sabah
telah mengancam kehidupan harian setiap masyarakat etnik bumputera dan ini
memberi satu situasi kebimbangan sama ada tanah mereka akan selamat
daripada segala pencerobohan yang tidak diketahui dan didalangi oleh pihak
– pihak tertentu. Laporan SUHAKAM mengatakan terdapat 1000 aduan berkenaan
tanah telah diterima dan daripada jumlah tersebut 824 kes adalah daripada
negeri Sabah iaitu satu jumlah kes yang besar dan serius berbanding dengan
negeri – nergeri lain di Malaysia.
Rampasan tanah berlaku dikatakan mempunyai hubungkait dengan situasi
politik dan kehilangan hak – hak tanah kepada masyarakat etnik bumiputera
Sabah turut menambah kepada peningkatan statistik kemiskinan di Sabah
disebabkan hilang sumber pendapatan isi keluarga dalam menyara kehidupan
harian di mana 40% kemiskinan adalah kaum bumiputera yang telah dilaporkan
oleh Bank Dunia.
Turut serta dalam membuat liputan berita ini ialah Pengerusi SAPP CLC
Sekong Tn.Haji Abdul Rasyid Mutalip, Pegawai Perhubungan SAPP Karamunting
Haji Jaafar Juana, Pegawai Penerangan SAPP Sekong Haji Aprin Bin Musin dan
juga Exco Pemuda SAPP Pusat Sdr. John Stephen.
|