Masyarakat Banggi mahukan parti tempatan
BANGGI:
Penduduk Banggi dahagakan pembangunan dan menanti sinar baru untuk
mengubah nasib mereka. Kenyataan itu diutarakan melalui majlis dialog
bersama EXCO Pemuda pusat di Kaninbungan baru-baru ini.
Menurut salah seorang penduduk Rumansu Magadow, 62 tahun, "wakil rakyat
yang dipilih gagal menunaikan tanggungjawab beliau dan hanya mementingkan
peribadi serta kroni-kroni beliau". Rumansu yang juga mantan Ketua kampung
itu menyerahkan keahlian menyertai SAPP di dalam Majlis tersebut
bersama-sama 52 orang ahli beliau. Penyertaan beramai-ramai mantan ahli
PBS ke dalam SAPP di dalam upacara ringkas tersebut menunjukkan
perkembangan baik di Banggi.
Jae-ly Medong Pengerusi CLC Banggi ketika berucap berkata, masyarakat
Banggi perlu memikirkan masa depan mereka dan melihat keadaan di seluruh
negeri yang memerlukan sebuah Parti tempatan yang lebih memahami dan
prihatin kepada kehendak rakyat. Seterusnya beliau meminta supaya
ahli-ahli Parti terus memperkuatkan jentera dan terus merapatkan diri
dengan rakyat sebagai persiapan menghadapi pilihanraya pada bila-bila masa.
Menurut beliau lagi, penduduk Sabah kehilangan tanah kepada syarikat besar
yang meraih keuntungan dan wakil-wakil rakyat BN hanya memandang sepi
perkara sedemikian, sedangkan mereka dipilih untuk membantu menyelesai
masalah tersebut. Beliau yang kesal dengan keadaan demikian, berharap
rakyat Banggi khususnya tidak lagi terus digula-gulakan dengan amalan
pemberian pelbagai insentif terutama menjelang pilihanraya. Rakyat harus
bijak memilih dan berani menolak parti-parti dari Semenanjung Malaysia.
Acara tersebut diselaraskan oleh EXCO Pemuda SAPP yang mengadakan program
Jelajah Pemuda berkonsepkan "Dengar Lihat dan Selesai" (DLS). Menurut
Edward Dagul, Ketua Pemuda, konsep DLS ini adalah suatu konsep mudah iaitu
mendengar masalah rakyat, melihatnya sendiri dan kemudian menyelesaikan
tanpa perlu banyak kerenah dan perbelanjaan besar. Konsep yang
diketengahkan oleh Pemuda ini sebenarnya lebih sesuai berikutan banyak
parti pembangkang hari ini hanya pandai menunjukkan masalah dan memaparkan
di surat khabar hanya bertujuan mendapatkan publisiti murahan tetapi tiada
usaha untuk menyelesaikannya.
Turut menyampaikan taklimat di Majlis tersebut ialah 2 Naib Ketua Pemuda
Jamain Sarudin dan Chester Pang. Pelbagai isu turut diluahkan di dalam
dialog selepas itu. Rombongan EXCO turut disertai oleh Setiausaha EXCO
Stephan Gaimin dan Pegawai Eksekutif EXCO Fredie Baikan.
|