SAPP lancar Dasar Reformasi Tanah Sabah
KOTA
KINABALU: Parti pembangkang Sabah, SAPP, atau Parti Maju Sabah melancarkan
Dasar Reformasi Tanah (DRT) semalam, apa yang disifatkan para pemerhati
sebagai langkah parti itu mendapatkan sokongan kaum Bumiputera di negeri
yang sedang dilanda pelbagai masalah perebutan tanah adat di banyak tempat.
Presiden SAPP, Yong Teck Lee, dalam ucapannya pada pelancaran DRT, berkata
dasar itu akan menjadi pegangan SAPP sekiranya parti berkenaan berjaya
mendapat mandat membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya tidak lama
lagi.
"Kerajaan kita akan mengembalikan hak rakyat bukan seperti kerajaan hari
ini yang melakukan penindasan dan kezaliman kepada rakyat sendiri. Yang
menzalimi rakyat hari ini bukan British atau Jepun tetapi kerajaan kita
sendiri.
"Syarikat-syarikat yang telah diberi tanah begitu luas hanya mengira
untung dan rugi tetapi bagi rakyat Sabah ini bukan soal untung rugi
perniagaan tetapi soal hidup, soal kebudayaan dan cara hidup," katanya.
Dasar berkenaan yang mempunyai 14 poin utama dilancarkan oleh salah
seorang Penasihat SAPP, Mohd Noor Mansor, yang pada satu masa adalah
Setiausaha Agung Berjaya ketika zaman kegemilangan parti itu memerintah
Sabah selama sembilan tahun (1976-1985).
Beberapa ratus orang hadir pada pelancaran itu hari ini adalah terdiri
daripada ahli dan penyokong SAPP, mangsa kena rebut tanah, pertubuhan
bukan kerajaan seperti Pacos dan UBF (United Borneo Front) dan juga
Suhakam yang diwakili Setiausahanya.
Mohd Noor dalam ucapannya antara lain menyebut belum pernah kezaliman
seperti membakar rumah dan membakar perkuburan kaum pribumi pernah berlaku
di Sabah sejak pemerintahan beradab, tetapi ia sudah berlaku sekarang di
bawah pemerintahan Barisan Nasional yang dikepalai Umno.
"Tanah Sabah ini dikurniakan Tuhan kepada kita rakyat Sabah, bukan
dikurniakan kepada orang seberang, kenapa rakyat kita sendiri pula dilayan
sebegini rupa," katanya merujuk kepada tayangan filem sebelum itu yang
merakam pelbagai pencabulan terhadap hak tanah adat kaum pribumi di negeri
kaya sumber tapi paling ramai orang miskin itu.
Dasar Reformasi Tanah SAPP itu antara lain menggariskan kerajaannya akan
menghormati hak asasi anak negeri, mengambil balik tanah-tanah adat yang
telah diberi kepada yang tidak berhak kepada pribumi yang berhak, membuka
skim tanah penempatan pekebun kecil, memberi keutamaan kepada usahawan
tempatan dalam pembangunan tanah komersial, perindustrian dan perumahan,
jaminan pelanjutan pembaharuan tempoh tanah bergeran 99 tahun dan 999
tahun dengan opsyen melanjut sehingga 999 tahun geran yang bertempoh 99
tahun sekarang.
Memelihara perkampungan sedia ada dalam kawasan perbandaran, mengekalkan
tanah simpanan perkampungan dan perkuburan serta kawasan padang ragut,
mengkaji mengubah "geran komunal" balik kepada geran NT sebelum ini, dan
mengemas kini pentadbiran tanah.
Yong dalam ucapannya juga berkata rekod kerajaannya pada 1997 menunjukkan
bahawa jika kerajaan mempunyai hasrat untuk menyelesaikan masalah tanah
rakyat, ia pasti boleh dibuat.
"Pada 1997, kerajaan masa itu pada tahun itu telah berjaya menyelesaikan
48,000 permohonan tanah termasuk 10,000 adalah geran NT. Ini kita buat
dengan menambah komputer dan peralatan di Jabatan Tanah dan Ukur dan
stafnya bekerja lebih masa. Jadi ia boleh dibuat jika kita mahu buat," katanya.
Oleh Luke Rintod FMT
DASAR REFOMASI TANHAH OLEH SAPP
1. HAK ASASI ANAK NEGERI
Tanah pusaka anak negeri mesti dikembalikan kuasa mutlak dan berkekalan
kepada anak negeri dan pengurusannya hendaklah mengikut adat istiadat anak
negeri.Tanah-tanah yang berkenaan tidak boleh dijual, dipindah milik
kecuali kepada ahli keluarga, atau dilakukan sebarang cagaran dengan
tujuan menjurus kepada kehilangan pemilikan seseorang anak negeri.
2. KEHILANGAN HAK ASASI TANAH DISEBABKAN PENIPUAN YANG BERLELUASA
Tanah-tanah yang bergeran CL dikawasan luar bandar yang telah dikeluarkan
geran secara penipuan atau penyelewengan kepada syarikat atau perseorangan
yang bertentangan dengan asas-asas mengikut hak asasi anak negeri akan
diambil kembali dengan tujuan mengembalikannya kepada penduduk asal hak
asasi tanah/ kawasan tersebut. Apa juga bentuk penyelesaian di dalam
perkara ini akan mengambil kira kedudukan pemilik CL yang berdaftar dan
sah mengikut Perlembagaan Persekutuan. Semua arahan untuk memindahkan
mereka yang terlibat akan dibekukan sehingga satu penyelesaian tercapai.
Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang terlibat di dalam
aktiviti-aktiviti penyelewengan ini.
3. SKIM TANAH PENEMPATAN PEKEBUN KECIL UNTUK SEMUA
Skim-skim tanah bagi pekebun kecil diseluruh pelusuk Negeri Sabah akan
terus diusahakan bagi penempatan, aktiviti-aktiviti pertanian dan
pembangunan oleh rakyat tempatan Sabah/ Labuan sama ada lahir atau
bermastautin tetap di Sabah/ Labuan.
4. TANAH BAGI RAKYAT TEMPATAN SABAH
Tiada lagi kelulusan permohonan bagi tanah oleh syarikat atau perseorangan
bagi maksud pertanian yang dibuat oleh mereka yang bukan rakyat tempatan.
Tanah-tanah pertanian akan hanya diberikan kelulusan kepada rakyat
Malaysia tempatan Negeri Sabah.
5. TANAH-TANAH UNTUK PEMBANGUNAN KOMERSIAL, PERINDUSTRIAN DAN PERUMAHAN
Kelulusan dan semua urusan bagi tanah-tanah komersial, perindustrian dan
perumahan akan diberikan keutamaan dan galakan kepada pelabur rakyat
tempatan. Tanah-tanah yang bernilai komersial di kawasan bandar akan
dilelong mengikut peraturan biasa bagi tujuan memaksimakan pendapatan
kerjaan negeri.
PERMOHONAN PEMBAHARUAN TANAH BERGERAN 99
DAN 999 TAHUN (APPLICATION FOR RENEWAL OF
LEASE)
Permohonan untuk memperbaharui tanah-tanah yang luput masanya dikawasan
Bandar dan luar Bandar akan diluluskan dengan segera tanpa mengurangkan
tempoh masa asalnya. Permohonan untuk memanjangkan masa luput satu-satu
geran daripada 99 tahun kepada 999 tahun boleh diluluskan.
7. KAWASAN PERKAMPUNGAN DIDALAM TANAH SIMPANAN
PERHUTANAN
Kampung-kampung tradisi di dalam tanah simpanan perhutanan akan mengikut
adat istiadat dan budaya kampung tersebut. Semua pengurusan perancangan
pembangunan perhutanan dibawa Jabatan Perhutanan akan mengambil kira
terhadap kampung-kampung yang sedia ada serta perkembangan dan kemajuan
yang akan datang.
8. TANAH SIMPANAN PERKAMPUNGAN DAN PERKUBURAN
Tanah-tanah yang diwartakan sebagai tanah simpanan perkampungan anak
negeri serta tanah perkuburan mesti dikekalkan sebagai mana yangdiwartakan,
agar kebudayaan tradisi serta adat istiadat mereka tetap dapat dijaga dan
dipelihara.
9. TANAH SIMPANAN RAGUT (GRAZING RESERVE)
Tanah-tanah yang diwartakan sebagai tanah simpanan padang ragut akan
diteruskan agar rakyat tempatan dapat terus mengusahakannya sesuai dengan
matlamat asal.
10. GERAN KOMUNITI (COMMUNAL TITLE)
Tanah-tanah pertanian serta penempatan khasnya yang bergeran komuniti
(communal title) akan dikaji semula untuk pemberian geran NTkepada rakyat
tempatan.
11. KAWASAN TANAH-TANAH MILIK KERAJAAN
Tanah-tanah yang telah dan sedang diusahakan oleh agensi-agensi kerajaan
akan dikaji semula untukmemastikan bahawa apa juga perancangan yang telah
ditetapkan benar-benar membawa faedah kepada rakyat Sabah.
TANAH-TANAH KAWASAN PERKAMPUNGAN
DI DALAM BANDAR
Tanah-tanah perkampungan yang sedia ada dikawasan Bandar yang bergeran TL
(Town Lease) dan CL (Country Lease) akan dikekalkan sebagai kawasan
perkampungan. Ianya akan dikemaskini sesuai dengan keadaan semasa pada
ketika itu.
13. KAWASAN FELDA
Kawasan Felda di Lahad Datu dan di Tawau akan dikembalikan kepada tujuan
asalnya iaitu untuk peneroka, termasuklah generasi kedua, ketiga, dan
seterusnya bagi peneroka yang ada sekarang.
14. MEMPERBAIKI DAN MENGEMASKINI
PENTADBIRAN TANAH
Sistem pentadbiran tanah yang sedia ada akan dikaji secara terperinci.
Tindakan akan diambil agar setiap permohonan dan pengeluaran geran akan
dipercepatkan.
|