Sabah boleh berdikari tanpa bantuan Pusat
PENAMPANG,
Nov 9: Sabah boleh berdiri di atas kaki sendiri tanpa bantuan dari
Kerajaan Pusat, kata Penasihat Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Datuk Mohd
Noor Mansur.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, Sabah berkeupayaan membangun disamping
berdikari kerana berdaya menjana sumber kewangan jika ditadbir dan urus
oleh pemimpin berkaliber.
"Saya bekas Menteri Kewangan Sabah oleh itu saya tahu bagaimana kedudukan
kewangan negeri ini boleh dibaiki. Apa yang perlu ialah pengurusan yang
efisyen.
"Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman ada menyatakan bahawa kedudukan
kewangan semasa Sabah mantap dengan simpanan berjumlah diantara dua hingga
tiga bilion Ringgit, tetapi apa yang menghairankan ialah Kerajaan Sabah
meminjam wang sebanyak RM500 juta melalui penerbitan bon.
"Kenapa perlu pinjam RM500 juta jika sudah ada dua hingga tiga bilion
Ringgit. Adakah ini satu pengurusan mantap dan efisyen? soal beliau ketika
berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan 2011 gabungan cawangan-cawangan
SAPP kawasan Moyog di Kampung Pogunon, dekat sini.
Hadir sama Presiden parti Datuk Seri Yong Teck Lee, Timbalan Presiden
merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Eric Majimbun, Timbalan Presiden
merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Likas Datuk Liew Teck Chan dan
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) Moyog, Aloysius Danim Siap.
Turut hadir, Setiausaha Agung Datuk Richard Yong, Ketua Penerangan Chong
Pit Fah, Naib Presiden merangkap Pengerusi CLC Kundasang Japiril Suhaimin,
Naib Presiden merangkap Pengerusi CLC Bongawan Jaafar Ismail dan Naib
Presiden Don Chin.
Pada majlis itu, beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah
menyertai SAPP dan mereka ialah Francis Mojikon Setiausaha PKR Cabang
Penampang, Oliver Taha seorang ahli jawatankuasa (AJK) PKR Moyog, Lo Vui
Ming @ Brendan dan Walter Balanjiu. Sebanyak 50 permohonan keahlian baru
juga telah diserahkan oleh Gilbert Molusin. Manakala seorang anak tempatan
yang telah tinggal di Amerika Syarikat selama 30 tahun, Wilfred Gaban,
juga telah menyerahkan permohonan ahli seumur hidup.
Mohd Noor turut menyatakan bahawa selain dari berkeupayaan menjana sumber
kewangan sendiri, royalti minyak yang dinaikkan juga dapat membantu
memantapkan sumber kewangan negeri ini.
Katanya, royalti minyak sebanyak hanya 5 peratus terlalu sedikit dan perlu
dinaikkan agar rakyat dapat menikmati hasil dari sumber yang dikeluarkan
dari negeri ini.
Beliau berkata, royalti sebanyak 95 peratus telah lama dinikmati Kerajaan
Persekutuan iaitu sejak 1976.
Beliau seterusnya berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh
ditumbangkan jika rakyat Sabah bersatu padu memberi sokongan kepada SAPP.
Sementara itu, Japiril berkata, kes penyelewengan tanah banyak berlaku di
seluruh negeri ini.
Katanya, maklumat dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyatakan
bahawa badan itu menerima sebanyak 824 kes membabitkan pertelingkahan
tanah diseluruh Sabah pada 2010.
Beliau berkata, keadaan itu memberi petunjuk bahawa pertelingkahan tanah
diantara penduduk tempatan dengan Kerajaan Sabah yang cuba merampasnya
akan menjadi isu utama pada pilihanraya umum kali ke-13 akan datang.
Menyentuh tentang parti-parti politik dari Semenanjung yang didapati
semakin rancak mengembangkan sayap ke Sabah, Japiril berkata, parti
politik dari Malaysia Barat tidak perlu bertanding di negeri ini kerana
mereka tidak berkeupayaan menjaga kepentingan rakyat di sini.
Katanya, hanya parti berasal dari Sabah seperti SAPP sahaja yang mampu
menjamin bahawa hak dan kepentingan rakyat dijaga dengan baik.
"Ada parti politik dari Semenanjung yang sudah ditolak kini cuba bertapak
di Sabah. Saya berpendapat, parti-parti politik dari Semenanjung patut
menumpukan perhatian di Malaysia Barat dan biarkan parti dari Sabah
bertanding di negeri ini," katanya.
|