Yong tiada kaitan kejatuhan SAS, tanah Tanjung Aru dan Tanah Pitas
KOTA
KINABALU, Nov 13: Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Yong Teck Lee berkata,
beliau tidak ada kena mengena dengan isu kejatuhan harga Saham Amanah
Sabah (SAS) sebaliknya Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Yee Moh Chai
adalah individu yang bersalah kerana melindungi fakta dan berbohong.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu berkata, Dr. Yee juga telah
mengelirukan rakyat mengenai isu SAS itu.
"Mereka-mereka yang tahun akan kebenaran mengenai SAS masih memegang
jawatan dalam Kabinet Negeri Sabah. Contohnya, Dr. Yee yang bersalah
kerana melindungi, berbohong dan mengelirukan rakyat.
"Saya telah mengatakan perkara ini beberapa kali dan Dr. Yee tidak pernah
menyangkal keselahan beliau. Jika beliau menyangkal maka dia sepatutnya
mengheret saya ke mahkamah kerana menggelar beliau pembohong besar.
"Jadi, sekarang, akhirnya kita mula melihat berakhirnya semua pembohongan
mengenai SAS terhadap saya walaupun Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan
konco-konco mereka seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) enggan memberitahu
perkara sebenar kepada rakyat," kata Teck Lee.
Katanya, pada masa lalu, beliau tidak ambil kisah tentang pembohongan
politik mengenainya seperti isu SAS, kelulusan 65,000 ekar tanah Begaraya
di Pitas dan kelulusan tanah dimana letaknya kuarters kerajaan di Tanjung
Aru kepada syarikat swasta.
Katanya, di internet serta kedai-kedai kopi, pembohongan terhadapnya
merebak begitu lama sehingga ianya disangka benar belaka.
Teck Lee berkata, beliau tidak sekali-kali merasa gentar kerana
pembohongan tidak dapat dilindungi.
Katanya, cabaran berprofil tinggi para penduduk kampung terhadap tanah
Begaraya menyebabkan kerajaan memberitahu bahawa kelulusan terhadap tanah
itu telah diberi pada 19 Mac 1996, dua bulan sebelum beliau menjadi Ketua
Menteri dibawah sistem penggiliran Ketua Menteri pada masa itu.
Katanya, baru-baru ini, satu kes mahkamah telah membongkar bahawa
kelulusan tanah di Tanjung Aru itu kepada sebuah syarikat swasta telah
diberikan pada 25 Mei 1996, dua hari sebelum beliau menjadi Ketua Menteri
iaitu pada 28 Mei 1996.
"Saya tidak ingin membuat sebarang spekulasi terhadap masa dan akan
perlunya dengan kadar segera kelulusan itu dibuat oleh bekas Ketua Menteri
sebelum saya, sebelum kuasa meluluskan perkara seperti itu dipindahkan
kepada Kabinet pada 17 Jun 1996," katanya.
Teck Lee menambah, pada 12 November 2011 akhbar-akhbar tempatan telah
menyiarkan dakwaan dan kenyataan seorang bekas Ketua Menteri Datuk Harris
Mohd Salleh.
"Saham Yayasan Sabah telah dihapuskan oleh Kerajaan Barisan Nasional
Negeri, Datuk Yong Teck Lee adalah Ketua Menteri pada masa itu," dakwa
Harris.
Teck Lee memberitahu bahawa saham Yayasan Sabah telah dihapuskan oleh
pentadbiran PBS pada 1990 sebelum pilihanraya negeri pada tahun itu
apabila saham Yayasan Sabah itu diganti dengan Amanah Rakyat Negeri Sabah
(ARNS).
"Harris dalam sebuah buku yang diterbitkan beliau sendiri pada 1996 telah
menulis bahawa Kerajaan PBS yang telah menghapuskan sijil saham Yayasan
Sabah. Fakta ini dinyatakan sebanyak tiga kali dalam buku itu.
Jadi, Harris tidak boleh mendakwa bahawa beliau tidak menyedari bahawa
bukan saya, sebagai Ketua Menteri dari 28 Mei 1996 hingga 27 Mei 1998,
tetapi ia adalah PBS pada 1990 yang telah menghapuskan saham Yayasan Sabah
itu," kata Teck Lee.
Katanya, sebelum pilihanraya negeri pada 1990, beliau hanya memegang
jawatan sebagai Pembantu Menteri, bukan Menteri penuh.
Katanya ARNS adalah satu tabung amanah yang ditubuhkan dibawah Enakmen
Amanah Rakyat Negeri Sabah 1990, diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri
yang bersidang pada 15 Mac 1990 dan mendapat perkenan Tuan Yang Terutama
Yang Di Pertua Negeri (TYT) pada 31 Mac 1990.
Teck Lee berkata, ARNS itu yang telah mengagih-agihkan RM200 kepada setiap
pewaris Yayasan Sabah menggunakan pengurusan dan rangkaian Yayasan Sabah.
Untuk pengetahuan awam, katanya, akaun ARNS yang mengagih-agihkan RM200
itu tidak dapat di audit.
"Seingat saya, Kabinet Negeri pada sekitar 1997 (apabila saya memegang
jawatan Ketua Menteri) telah diberitahu bahawa ada pertanyaan terhadap
kehilangan wang dan kemungkinan penipuan bayaran kepada individu yang
tidak wujud atau tidak layak.
Saya telah mengarahkan pihak pengurusan Yayasan Sabah membuat laporan
polis terhadap perkara itu," katanya.
Katanya, apa sahaja status ARNS dan sijil saham Yayasan Sabah pada hari
ini, beliau percaya pentadbiran pada hari ini boleh memuaskan hati rasa
ingin tahu pihak awam.
"Saya hanya boleh menjawab perkara-perkara yang telah saya lakukan ketika
menjadi Ketua Menteri," katanya.
|