Kempen mendesak: Pembinaan Hospital QEH
KOTA
KINABALU, Nov 16: Pemuda SAPP Kota Kinabalu akan menganjurkan kempen memperingati
Hari ke-1110 ketiadaan Hospital Besar Ratu Elizabeth yang jatuh pada 20
November 2011 iaitu hari Ahad ini.
Pengerusi penganjur acara Freddy Bycan berkata tujuan kempen tersebut
diadakan adalah untuk mendesak pihak terbabit termasuk Kerajaan agar
projek pembinaan menara berkembar hospital Ratu Elizabeth disiapkan
mengikut jadual.
Seramai 150 orang Pemuda SAPP yang berpakaian beraneka ragam atau membawa
barang peraga berserta logo QEH akan digerakkan diseluruh Bandaraya Kota
Kinabalu termasuk Penampang bermula dari 10.30 pagi hingga 12.00 tengahari
dan kembali berkumpul di Ibu Pejabat SAPP Luyang untuk acara bergambar
beramai-ramai.
Orang ramai turut dijemput untuk menjayakan kempen tersebut dengan memakai
pakaian berwarna kuning termasuk topi atau selendang. Lencana kempen juga
ada dijual dengan harga RM3.
Apabila ditanya berkenaan syarat penyertaan kempen, Freddy yang juga Ketua
Pemuda CLC Moyog berkata semua warga Malaysia di Sabah dialu-alukan
menyertai kempen berkenaan tanpa mengira usia iaitu dari kanak-kanak
hingga ke warga emas termasuk badan NGO ataupun parti-parti politik.
Bangunan menara QE yang dibina pada tahun 1981 telah mengistiharkan tidak
selamat pada 24 Okt 2008 oleh Menteri Kesihatan kerana terdapat retakkan
di struktur bangunan berkenaan yang menempatkan bilik pembedahan utama dan
forensik.
Projek pembinaan menara berkembar untuk menggantikan menara lama yang
memakan masa selama 30 bulan untuk disiapkan telah dimulakan pada 7 Jun
2010 dan dijangkakan siap pada 7 Dis 2012.
Sehubungan itu, kempen tersebut diadakan untuk mendesak agar projek
pembinaan menara baru tidak mengalami kelewatan seperti kebanyakkan projek
yang dijalankan di Sabah kerana hospital melibatkan nyawa keluarga dan
orang yang tersayang.
Turut hadir pada mesyuarat ialah Ketua Pemuda SAPP Zon KK Chester Pang,
Ketua Pemuda Luyang Yong Yit Yoong, Ketua Pemuda Likas Voo Choon Vun,
Ketua Pemuda Api-Api Conan Teo, Ketua Pemuda Karambunai Suffian Saprin,
Ketua Pemuda Tg. Aru Lum Kong Fui dan AJK pemuda KK.
|