Ahli ahli baru sertai SAPP di Kuala Penyu
KUALA PENYU:
Nov 19, 2011: Kawasan CLC N.26 Kuala Penyu tidak pernah
dilupakan meskipun kurang aktif dalam tempoh 3 tahun ini. Malah kawasan
tersebut dibugarkan lagi dengan kehadiran ahli-ahli baru. Detik perubahan
ini disaksikan sendiri oleh En. Dullie Marie Bendahari Agung SAPP ketika
menerima permohonan keahlian dan cawangan Baru Kg. Bukit Nuri, Kuala Penyu
yang diketuai oleh En. Abu Samah Bin Ajak.
Majlis penyerahan permohonan keahlian tersebut diadakan di rumah kediaman
Abu Samah sendiri. Menurutnya, beliau dan ahli-ahlinya amat tertarik
dengan perjuangan SAPP sebuah parti tempatan di Sabah. Tindakan berani
SAPP keluar dari Barisan Nasional memberikan gambaran kesediaan parti
tersebut memerintah Negeri Sabah pada masa yang terdekat.
En. Jualin @ George mantan ahli UMNO yang turut berucap di Majlis itu
meminta agar penduduk kampung tidak terpedaya dengan taktik kerajaan BN
hari ini yang hanya memberikan bantuan bila tiba kehangatan pilihanraya,
sepertimana bantuan kewangan kepada murid sekolah. Beliau yang merasa
kesal kerana masih ramai orang yang layak telah dipinggirkan daripada
mendapat bantuan kerajaan seperti rumah PPRT dan sebagainya.
Sementara itu, Bendahari Agung pusat En. Dullie Marie yang teruja dengan
sambutan hangat ahli-ahli baru di Kuala Penyu meminta agar keahlian
diperbanyakkan lagi dan usaha memberikan penerangan kepada orang-orang
kampung terus digiatkan. Menurutnya, penduduk kampung hanya disogokkan
berita sehala melalui media kerajaan dan saluran berita TV. UMNO telah
hadir di Sabah dan membawa konsep “pecah dan perintah” kata beliau lagi.
Beliau memberikan penerangan secara ringkas pelbagai isu termasuklah
ekonomi dan isu petroleum. Menurut beliau, Sabah daripada negeri yang kaya
di Malaysia telah jatuh menjadi Negeri termiskin sejak Barisan Nasional
memerintah Sabah. Bermakna pemimpin BN telah gagal menunaikan
tanggungjawab mereka dalam membela nasib rakyat.
Sementara itu Pemangku Pengerusi CLC Kuala Penyu, Jamain Sarudin pula
berkata, beberapa cawangan lagi akan dibuka di Kuala Penyu dan berharap
ahli-ahli bekerja keras sebagai satu pasukan untuk membuka peluang bagi
kawasan tersebut. Meskipun masa terlalu singkat, beliau yakin, masih
terdapat potensi bagi kawasan Kuala Penyu melakar sejarah tersendiri di
Pilihanraya Umum akan datang. Jamain yang juga Pengerusi CLC Lumadan
berkata, perkembangan baik ini turut di dorong oleh isu setempat di
kawasan tersebut, termasuk kelemahan wakil rakyat Kuala Penyu John Teo Mau
Seng.
|