Sokong siasatan semula: Conrad
KOTA
KINABALU, Dis 6, 2011: Bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk
Conrad Mojuntin (gambar) semasa pemerintahan Parti Berjaya menyokong agar
peristiwa 6 Jun 1976 yang mengorbankan bekas Ketua Menteri Tun Fuad
Stephens dan yang lain harus dilakukan siasatan semula.
Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli ketika
disoal oleh peguam Datuk Simon Shim mewakili defendan pertama, Datuk Yong
Teck Lee dan kedua, Parti Maju Sabah (SAPP) yang difailkan oleh plaintif,
Tan Sri Harris Salleh, membabitkan saman fitnah RM50 juta.
"Kejadian ini harus dibangkitkan agar semua individu yang terkorban dalam
kemalangan ini bersemadi dengan tenang...dan luka di dalam hati dapat
diubati, baik saya sendiri dan orang lain, atas kematian abang saya," katanya. Conrad merupakan adik
kepada mendiang Peter Mojuntin yang memegang jawatan sebagai Menteri
Kerajaan Tempatan Negeri pada ketika itu.
Disoal oleh Simon, adakah beliau menyedari mengenai ucapan yang dilakukan
oleh Tengku Razaleigh mengenai peristiwa kemalangan terbabit. Katanya
beliau ada membacanya di dalam salah satu akhbar tempatan.
"Ya, saya ada membacanya,Tengku Razalegih telah dipanggil oleh Harris
untuk terbang ke satu tempat di Kudat," katanya dan menjelaskan, dia tidak
pernah mendengar kenyataan seperti itu sebelumnya dan agak terkejut serta
ingin mengetahui punca sebenar kejadian terbabit.
Soalan lanjut daripada Simon, adakah dia mengetahui sebuah buku bertajuk
"Golden Son of Kadazan", katanya dia tahu dan menyatakan, buku itu telah
ditulis oleh mendiang, Bernard Sta Maria dan menceritakan pengorbanan
abangnya dalam arena politik.
Jelasnya, apa yang diterangkan di dalam buku berkenaan mengenai kejadian
dan punca kemalangan udara itu tidak jelas. Namun, buku terbabit
diharamkan pengeluarannya sejak dahulu lagi dan dia tidak mengetahui,
siapakah yang mengharamkannya dan untuk apa.
Selepas itu, pada 17 Jun tahun ini, beliau ada menulis surat yang bertajuk
"Letter to God" yang telah disiarkan oleh satu akhbar tempatan pada 18 Jun
lalu, kerana ingin mengetahui punca kemalangan terbabit.
Conrad memberitahu, dia ada membaca di dalam akhbar mengenai kenyataan
yang dilakukan oleh anak saudaranya, Datuk Donald Mojuntin, yang mana
keluarganya tidak ingin kes itu disiasat semula.
"Saya tidak pernah memberikankuasa kepada anak saudara saya untuk menulis
mewakili saya berkenaan dengan kenyataannya itu di dalam akhbar," katanya
dan menegaskan, hingga kini dia ingin mengetahui punca kemalangan dan
mesti didedahkan. Terdahulu,
beliau menjelaskan dia menyedari mengenai kemalangan pada 6 Jun 1976. Pada
ketika itu, dia telah meletak jawatan sebagai pengurus di salah sebuah
syarikat dan menolong mendiang abangnya dan Tun Fuad melakukan pelbagai
kerja di banyak kampung. "Saya
diberitahu oleh abang sulung yang datang ke rumah dan memaklumkan mengenai
kejadian letupan kapal terbang dari Labuan. Setahu saya, abang (Peter)
saya berada di Labuan, mendiang abang saya George Mojuntin tidak
memberitahu siapa yang berada di dalam kapal itu.
Sehingga kini, beliau menyatakan, dia tidak mengetahui punca sebenar yang
menyebabkan kejadian itu berlaku.
Dia juga tidak dimaklumkan oleh kerajaan atau Harris mengenai kemalangan
itu, termasuklah syarikat pembuatan kapal terbabit dari Australia.
Utusan Borneo
|