Pemberian adalah untuk membeli undi
KOTA
KINABALU, 9 Dis 2011: Parti Maju Sabah (SAPP) berkata Kerajaan Barisan Nasional
(BN) pada hari ini menggalakkan rasuah bukannya membanteras gejala itu.
Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Eric Majimbun berkata keadaan itu jelas dapat
dilihat apabila Kerajaan BN sedang giat memberi wang kepada rakyat termasuk
kanak-kanak sekolah tatkala pilihan raya kali ke-13 menjelang tiba.
"Pemberian wang sebanyak RM100 kepada setiap pelajar sekolah dan RM500 kepada
rakyat dewasa apabila pilihan raya kali ke-13 bakal menjelang tiba menunjukkan
Kerajaan BN mengamalkan rasuah sekaligus menggalakkannya.
"Memberi wang tunai kepada pelajar sekolah juga bererti menggalakkan rasuah
diperingkat awal. Kanak-Kanak sekolah tidak sepatutnya ditunjuk ajar bagaimana
rasuah boleh diterima.
"Kononnya pemberian wang kepada para pelajar dan rakyat dewasa merupakan bantuan
kepada rakyat adalah tidak benar kerana pemberian itu dibuat apabila pilihan
raya menjelang tiba," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Eric selaku Timbalan Presiden SAPP berkata, kenyataan Ketua Menteri Datuk Musa
Aman bahawa Kerajaan BN Sabah akan terus memperbaiki dasar-dasar dan prosedur
tertentu termasuk bidangkuasa dan memperkasa tindakan undang-undang serta
penguatkuasaan hanyalah retorik semata-mata.
Katanya, rakyat Sabah kecewa dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat yang
mengamalkan Double Standard dalam memerangi rasuah kerana pada satu ketika
berkata ingin membanteras rasuah tetapi sebaliknya merasuah kanak-kanak sekolah
dan rakyat dewasa dengan memberi wang tunai.
Katanya, memberi wang tunai kepada kanak-kanak sekolah dengan mengambil gambar
beramai-ramai bersama para pelajar itu dan seterusnya menerbitkannya di
akhbar-akhbar tempatan jelas menunjukkan Kerajaan BN sebenarnya sedang
mempromosi rasuah.
Eric berkata, bagaimanakah Kerajaan BN banteras rasuah jika perang dingin
terhadap rasuah dipalit dengan promosi terhadap rasuah diperingkat sekolah.
Katanya, peribahasa "ikan buruk bermula dengan kepalanya" sememangnya kena dan
sesuai dengan cara dan bentuk kepimpinan Kerajaan BN pada masa ini.
Beliau berkata, cara hidup dengan kemampuan yang jauh berbeza jelas menunjukkan
Kerajaan BN sebenarnya menggalakkan rasuah.
|