Pemuda SAPP: Penubuhan RCI lama tertangguh
TENOM,
Disember 14, 2011: Naib Ketua Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) Pusat Rudy Sulaiman
Mairi (gambar), merasa lega dan mengalu alukan kenyataan Timbalan Ketua Menteri
Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah telah
menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) untuk menyiasat masalah
kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) termasuk pemilikan Kad Pengenalan
menerusi pintu belakang diSabah.
Katanya, SAPP antara yang telah memperjuangkan penubuhan RCI beberapa bulan lalu
berharap isu yang dibangkitkan Pairin itu akan menjadi kenyataan sebaliknya
bukan sekadar ibarat melepaskan batuk di tangga untuk mengaburi mata rakyat
kerana pilihanraya umum kali ke-13 sudah hampir.
"Kepimpinan SAPP memandang serius masalah ini yang tidak boleh dipandang ringan
lagi, dimana ia merupakan ibu segala masalah keselamatan di negeri ini," kata
beliau dalam satu kenyataan disini pada Rabu sebagai mengulas kenyataan Tan Sri
Pairin Kitingan berhubung isu RCI pada baru baru ini.
Pada Rabu, Pairin yang juga merupakan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan
Pengerusi Jawatan Kecil itu dipetik sebagai berkata bahawa Jawatankuasa Kecil BN
Sabah telah menyokong idea kerajaan membentuk RCI untuk menyelesaikan masalah
PATI diSabah.
Rudy seterusnya berkata, rakyat yang berbilang kaum dan keturunan serta
kepercayaan agama yang selama ini berdiri teguh dibelakang kepimpinan SAPP
semata mata untuk menyokong perjuangan parti itu supaya RCI ditubuhkan bagi
menyelesaikan kemelut isu tersebut malangnya pihak kerajaan khususnya
Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus berdolak dalik dengan pelbagai alasan yang
tidak masuk akal malah ia membosankan.
"Kita juga sudah mengumpulkan ratusan ribu tanda tangan daripada masyarakat
pelbagai keturunan di Sabah menyokong RCI ditubuhkan namun selepas beberapa
bulan tanda tangan itu diserahkan oleh Ketua Pemuda SAPP Edward Dagul di
Parlimen tidak langsung memberi kesan positif kearah penyelesaiannya," tegas
Rudy.
"Kami agak keletihan dan kekadang rasa hilang sabar apabila segala usaha kami
dinafikan kerajaan namun sandaran kami adalah rakyat yang bakal menghakimi
kerajaan secara demokrasi melalui peti undi dalam PRU ke-13 berlandaskan gelagat
buruk mereka," tambah Rudy.
Dalam pada itu, mengenai dengan gesaan segelintir pemimpin UMNO Sabah yang
mencadangkan supaya RCI tidak perlu ditubuhkan kerana ia kurang relevan dalam
menyelesai isu PATI sebaliknyanya menumpukan penyiasatan pemberian MyKad dan
kerakyatan dinegara ini Rudy berkata,
"Penubuhan RCI adalah amat penting supaya kita dapat menyiasat dan mengesan
siapakah dalang sebenar disebalik pembuat arahan keatas pemberian Kad Pengenalan
dan kerakyatan melalui pintu belakang dimana kegiatan ini secara tidak langsung
telah mendorong kebanjian PATI ke negeri ini…kita mahu mereka ini terus diheret
ke muka pengadilan.
"Kalau setakat kita gunakan kaedah lain menerusi jabatan jabatan yang berkaitan
ia tidak memberi kesan apa apa malah isu ini akan luput dan hilang secara
perlahan lahan," tegas Rudy.
Oleh Mail Mathew
|