Perluasan Akta Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) akan hakis autonomi Sabah
KOTA
KINABALU: Langkah memperluas Akta Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan)
ke Sabah akan menghakiskan lagi autonomi Negeri, kata Naib Presiden Parti Maju
Sabah (SAPP), Datuk Wong Yit Ming.
Beliau berkata, cadangan oleh MP DAP Kota Kinabalu Hiew King Cheu supaya akta
itu yang dipinda di Parlimen baru-baru ini, diperluaskan ke Sabah tidak wajar
dipertimbangkan kerana Sabah sudah mempunyai Enakmennya sendiri yang telah
berjaya menangani pembangunan perumahan terbengkalai.
"Peluasan satu lagi undang-undang persekutuan tidak dapat membantu. Terdapat
lebih banyak projek perumahan terbengkalai di semenanjung berbanding di Sabah
dan Sabah mempunyai rekod kejayaannya sendiri dalam menghidupkan semula projek
terbengkalai," katanya di sini Rabu.
Wong berkata, memperluaskan Akta itu ke Sabah juga akan menyebabkan kerajaan
Negeri hilang kuasa terhadap pembangunan perumahan kerana segala-gala perlu
melalui pihak berkuasa Persekutuan.
"Kita tidak mahu satu lagi undang-undang persekutuan mencerobohi Sabah. Para
pemaju tempatan akan terpaksa mendapatkan lesen mereka dari Putrajaya," katanya.
Jika ada sebarang kelemahan dalam Enakmen Perumahan Sabah, kerajaan negeri boleh
memperbaikinya, tidak perlulah bagi undang-undang persekutuan, katanya.
Beliau berkata, peluasan undang-undang persekutuan ke negeri ini telah terbukti
tidak memberi manfaat sama seperti keputusan kerajaan memperluaskan Akta
Peminjaman Wang ke Sabah.
"Dengan adanya Akta itu, kita dapat melihat semakin banyak syarikat memberi
pinjaman wang yang diketahui mengenakan caj kadar faedah berlebihan wujud di
Negeri ini.
"Kita mahukan set undang-undang yang boleh mengawal Ah Long-Ah Long ini dan
bukannya menggalakkan kewujudan mereka," katanya.
Akta Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966, yang dipinda untuk
memberi lebih perlindungan kepada pembeli rumah dengan membolehkan prosiding
jenayah diambil terhadap pemaju yang ingkar hanya harus dilaksanakan di
semenanjung melihat kepada kes yang banyak berlaku di situ, katanya.
"Di Sabah undang-undang kita sudah mencukupi untuk menangani projek perumahan
terbengkalai....projek perumahan persekutuan yang Hiew sebut sebagai
terbengkalai di Sabah itu harus diajukan kepada Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan," katanya.
Oleh Chris Maskilone
|