Monopoli korek pasir ada motif tersembunyi
KOTA
KINABALU: Ketua Penerangan Parti Maju Sabah (SAPP) Chong Pit Fah mendakwa
keputusan Kerajaan Negeri untuk memberi monopoli mengorek pasir sungai di Negeri
ini kepada salah sebuah anak syarikatnya Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco)
mempunyai motif tersembunyi.
Beliau mendakwa ramai pihak berpendapat bahawa keputusan tersebut akan memberi
manfaat kepada sekelompok orang yang menjadi kroni kepada mereka yang memegang
kuasa.
Beliau turut berkata beliau mempunyai bukti yang mencukupi untuk menyokong
pandangan itu.
"Seperti yang kita semua tahu, pasir sungai adalah komoditi perlu dalam industri
binaan, dan sukar untuk diperolehi sekarang disebabkan oleh kuantitinya yang
semakin sedekit, di sampung kawalan ketat oleh Jabatan Pemuliharaan Alam Sekitar
Negeri. Oleh itu, harganya melonjak naik secara drastik sejak tahun kebelakangan
ini, menjadikannya industri yang menguntungkan sekarang.
"Dan kini, nampaknya Kerajaan Barisan Nasional (BN) menyambar semua bahagian itu
daripada sektor swasta, hanya untuk memberi manfaat kepada sebilangan orang
sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.
Chong yang juga Ketua Bahagian SAPP Kepayan mengadu bahawa Kerajaan BN sejak
tahun kebelakangan ini memberi hak eksklusif untuk barangan keperluan pengguna
seperti gula, beras, simen kepada kroninya.
"Kroni BN mengawal hampir kesemua benda dalam kehidupan harian kita, dari dapur
hinggalah di luar rumah," katanya.
Beliau berkata bahawa Kerajaan BN mungkin perlu mempertimbang dengan serius
untuk mengawal perniagaan pengurusan perkebumian di negara ini, untuk
perkhidmatan pengkebumian oleh golongan miskin," katanya.
Beliau juga menyatakan kesan negatif terhadap langkah monopoli yang diambil oleh
Kerajaan Negeri untuk simen, di mana rakyat, khususnya pemaju tidak dibenarkan
untuk membeli simen daripada tempat lain hanya daripada Cement Industries Sabah
(CIS)
"Malangnya, bekalan simen di Negeri ini masih belum konsisten dan pemaju serta
kontraktor, terpaksa bergantung kepada CIS," ujarnya.
Chong selanjutnya berkata sebab yang diberikan oleh Kerajaan Negeri dalam
memberi kawalan penuh terhadap pengorekan pasir sungai di Negeri ini kepada
Sedco, iaitu untuk mengawal lebih baik pengorekan pasir sungai haram, adalah
dipertikaikan.
Beliau berkata kuasa ke atas pengorekan pasir sebenarnya terletak di bawah
Kementerian Galian di peringkat Persekutuan dan Jabatan Tanah dan Ukur di
peringkat Negeri.
"Apa yang dapat Sedco lakukan? Mereka tidak mempunyai kuasa untuk menghalang
aktiviti pengorekan pasir secara haram," katanya, sambil menambah bahawa langkah
Kerajaan itu melahirkan lebih banyak masalah daripada penyelesaian.
Beliau menyatakan bahawa pihak berkuasa boleh menghentikan pengorekan pasir
secara haram tanpa perlu memberi monopoli kepada Sedco melalui pemantauan wajar
dan penguatkuasaan undang-undang, terutama jika tiada penyelewengan.
Oleh Chris Maskilone (Harian Ekspres)
|