Rakyat harus menyedari situasi genting
kewujudan pengundi PATI
KUALA
PENYU, Disember 19, 2011: Parti Maju Sabah (SAPP) N.26 Kuala Penyu giat menambah
ahli dan cawangan baru. Pada petang ahad, En. Mison Kimliah mengetuai 50 orang
ahli memohon menubuhkan cawangan baru iaitu Kg. Menumpang.
Pengerusi CLC N.26 Kuala Penyu, Jamain Sarudin menerima permohonan mereka di
dalam satu majlis penerangan SAPP di Kg. Rimbaan, Kuala Penyu.
Menurut En. Mison Kimliah, beliau sebelum ini menyertai politik hanya sekadar
suka-suka dan tidak pernah serius. Tetapi setelah mendengar berita dan juga
perjuangan SAPP, beliau menjadi sangat tertarik hati dan menyimpan hasrat
menyertai parti itu suatu hari nanti, dan hasrat tersebut dizahirkan dengan
penyertaan beliau bersama 50 orang lagi ahli-ahli dari Kg. Menumpang.
Beliau berkata SAPP adalah pilihan tepat bagi rakyat Sabah.
Sementara itu, Jamain Sarudin yang juga Setiausaha Penganjur Pusat berkata,
rakyat harus memikirkan masa depan generasi akan datang. Pemimpin BN terutama
UMNO hanya mementingkan kepentingan peribadi dan kedudukan mereka di dalam
kerajaan untuk menjamin kocek mereka penuh, sedangkan rakyat menghadapi ancaman
menjadi pelarian di negeri sendiri suatu masa kelak.
Beliau juga menyeru agar penduduk tempatan terus meningkatkan kesedaran terhadap
ujudnya golongan PTI yang sudah menjadi pengundi berdaftar dan jumlah mereka
semakin meningkat tahun demi tahun. Sekiranya ini tidak dibendung, maka masa
depan generasi akan datang menjadi gelap.
Beliau berkata sudah tiba masanya rakyat menyokong parti tempatan, kerana hanya
parti tempatan lebih mengerti keadaan rakyat. Beliau menyelar sikap pemimpin BN
yang berdolak dalik dalam isu RCI yang tak kunjung menemui keputusannya sehingga
ke hari ini, meskipun mempunyai peluang untuk berbuat demikian.
Jamain berkata, salah satu cara menyokong usaha ini adalah dengan tidak
menumpang kenderaan "pirate" PATI serta membeli barangan jualan PATI sekalipun
mereka mempunyai kad pengenalan. Kanak-kanak pun kenal mana satu PATI dan mana
satu orang tempatan, dari bahasa mereka sendiri. Maka kesedaran ini perlu ada
bagi setiap rakyat tempatan. Dengan membeli barangan jualan mereka, maka kita
seolah-olah merestui kehadiran mereka.
Menyentuh perkembangan parti, beliau berkata parti giat menjalankan usaha
menambah ahli dan memberi penerangan kepada kumpulan-kumpulan penduduk di
Lumadan dan Kuala Penyu. Pada masa sekarang, cawangan di kawasan Lumadan telah
menerima permohonan tambahan cawangan baharu sebanyak 13 buah cawangan dalam
tempoh satu bulan. Meskipun ada di kalangan mereka yang menjadi ahli secara
senyap-senyap kerana takut bantuan dipotong oleh pihak yang berkenaan, namun
mereka berdiri teguh dengan perjuangan SAPP.
Turut hadir dimajlis tersebut En. Jualin Obol, Naib Pengerusi CLC Kuala Penyu.
|