Projek IC - Kebenaran perlu didedahkan
KOTA
KINABALU: Dakwaan Pengerusi Pekida, Datu Akjan Ali Muhammad kononnya "orang-orang
yang kewarganegaraan mereka dipersoalkan adalah para pemegang IMM13" samalah
seperti menyatakan seorang Menteri Persekutuan berbohong di Parlimen.
Naib presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Japiril Suhaimin berkata, dakwaan Akjan
itu tidak kukuh kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul
Aziz telah mengesahkan bahawa tidak ada seorang pun daripada 81,000 pemegang
IMM13 itu diberi kewarganegaraan Malaysia.
Beliau berkata, ini dinyatakan dalam jawapannya kepada soalan tambahan Datuk
Eric Majimbun di Parlimen pada 5 Ogos 2011.
Japiril
berkata, gesaan menubuhkan suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibuat kepada pihak
berkuasa Persekutuan untuk menjernihkan kekeliruan dalam minda penduduk Sabah
mengenai pertambahan luar biasa pada jumlah rakyat Malaysia di Sabah.
"Apabila SAPP menyuarakan kebimbangannya dan meminta pihak berkuasa menubuhkan
RCI, ia adalah untuk menyiasat masalah itu sepenuhnya. Tidak ada sebarang bentuk
diskriminasi langsung.
"Kebenaran itu perlu didedahkan. Jika ada apa yang dipanggil sindiket Kad
Pengenalan (KP) maka mereka yang terlibat harus dihadapkan ke mahkamah dan
dihukum," katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.
Pemuda SAPP juga bekerja keras untuk mendapatkan 100,000 tandatangan, kempen
untuk menyokong penubuhan RCI itu dan akan berbuat lebih lagi, jika perlu,
sehingga pihak berkuasa Persekutuan bersetuju kepada permintaan rakyat itu,
katanya.
"Apa yang kami mahu tahu adalah apakah perasaan para pemimpin Umno terhadap
pendirian Pekida Sabah itu? Kenapa para pemimpin berkenaan terus berdiam diri
mengenai isu ini? Atau adakah mereka bersetuju dengan Akjan?
"Adakah satu kebetulan sahaja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi
tetamu kehormat acara kebangsaan Pekida di Politeknik Shah Alam pada 5 Dis,
2011?
"Kenyataan 'Najib akan membantu Pekida sebagai balasan laporan pilihan raya'
kemudian menjadi tajuk beberapa Portal berita," katanya.
Katanya, jika para pemimpin Sabah ini terus membisu disebabkan protokol parti,
maka bolehkah ini dianggap sama kepada para pemimpin Barisan Nasional yang lain
di Sabah.
"Apa perasaan Tan Sri Pairin terhadap perkara ini, lagipun beliau adalah ketua
jawatankuasa Sabah mengenai izu PTI itu?" tanya beliau.
"Apakah hasil siasatan polis terhadap episod pertabalan Sultan Sulu pada
Februari 2011 di Likas? Sudahkah pihak polis menyiasat perkara itu secara
menyeluruh?
"Tentu ramai yang mahukan penjelasan terperinci berikutan beberapa laporan polis
yang telah dibuat oleh pelbagai pihak termasuklah Pemuda SAPP," katanya.
Harian Ekspres (Chris Maskilone)
|