Penduduk kecewa projek rumah lewat siap
RANAU,
Dis 29, 2011: Kelewatan penyiapan projek pembangunan perumahan melibatkan 154
unit rumah teres kos rendah dan 374 unit rumah teres kos sederhana di
Taman Saujana Kinabalu di Kampung Badukan di sini, mencetuskan kekecewaan
di kalangan pembelinya yang kebanyakkannya terdiri kakitangan kerajaan.
Naib Presiden SAPP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Pusat
Kundasang, Japiril Suhaimin mendakwa, projek di bawah kendalian Syarikat
Perumahan Negara Berhad (SPNB) itu sepatutnya sudah boleh diduduki pada
tahun ini, namun projek tersebut hanya siap 50 peratus sahaja.
"Para pembeli rumah di Taman tersebut telah rnenunggu hampir empat tahun
sejak perjanjian ditandatangani pada Febuari 2008 dan sepatutnya pada
tahun ini mereka sudah boleh menduduk rumah-rumah tersebut.
"Namun setakat ini, masih banyak kerja-kerja yang tertangguh termasuk
pembinaan jalan masuk, kerja-kerja bangunan, sistem bekalan air, elektrik
dan pembentungan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Japiril mendakwa, kelewatan itu turut menyebabkan golongan pembeli yang
membuat Pinjaman Perumahan Kerajaan terpaksa membayar balik pinjaman
mereka melalui potongan gaji setiap bulan, manakala yang membuat pinjaman
melalui bank pula terpaksa membayar faedah di atas pinjaman yang dibuat
berdasarkan kerja-kerja yang telah siap.
"Keadaan ini sudah tentu membebankan para pembeli terutamanya yang
berpendapatan rendah," katanya.
Menurut Japiril lagi, beberapa orang pembeli yang sering berulang alik ke
pejabat SPNB untuk merujuk masalah tersebut hanya diminta bersabar oleh
kakitangan syarikat tersebut tanpa sebarang maklum balas yang positif.
"Berdasarkan pemerhatian saya, projek yang dijalankan tidak lancar dan
tidak seperti dalam perjanjian. Kontraktor yang melaksanakan projek
tersebut juga sering berganti, manakala rumput di kawasan tersebut sudah
mula meninggi kerana tiada kerja-kerja yang sedang berjalan," tambah
beliau.
Suzana Justin Harian Ekspres
|