SAPP menyokong Penubuhan RCI
KOTA
KINABALU, Dis 31, 2011: Sejak awal-awal lagi Parti Maju Sabah telah membuat desakan dan kerjasama
badan-badan NGOs dan parti-parti politik di Sabah supaya menyokong
penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bersabit dengan pendatang
tanpa izin.
Desakan ini bukanlah melibatkan soal bangsa atau agama, tidak
sekali, tetapi ianya difokuskan kepada soal undang-undang Negara,
peraturan dan kedaulatan negara kita Malaysia. Ianya tidak akan
mengakibatkan sensitiviti sesiapa khususnya rakyat Malaysia di Sabah.
Jangan sesiapa berani membuat kenyataan untuk menakut-nakutkan rakyat
negeri ini tentang penubuhan RCI.
Desakan Parti Maju Sabah (SAPP) bersabit dengan penubuhan Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI) bukanlah perkara baru. Inisiatif SAPP berkenaan
dengan ini telah diusahakan sejak beberapa tahun yang lalu.
Masalah PENDATANG TANPA IZIN (PTI) sudah menjadi masalah universal
di seluruh dunia bukan sahaja di Malaysia atau di Sabah khasnya. Tidak ada
satu negara di dunia ini yang bersetuju dan membenarkan kemasukan
pendatang-pendatang tanpa izin.
Kemasukan pendatang tanpa izin yang tidak
terkawal menggambarkan kelemahan sistem kawalan Negara dan mencabuli
kedaulatan negara. Tanpa ditangani masalah ini akan menimbulkan situasi
huruhara dan menjejaskan keamanan dan keharmonian sesebuah negara atau
negeri. Akan wujud masalah sosial, meningkatnya tahap jenayah dan
menimbulkan masalah identiti, sebuah negeri/ negara yang memerlukan
keamanan dan stabiliti.
Usaha SAPP atas perkara ini, pada 6hb April, 2011 lebih dari 50,000 rakyat
Malaysia di Sabah telah menandatangani surat rayuan (petition) untuk
merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan
Diraja (RCI) demi untuk menyelesaikan masalah PTI yang sudah sampai jumlah
ratusan ribu di Sabah.
Surat rayuan tersebut telahpun disampaikan kepada Yang Amat Berhormat
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri
Datuk Muhiddin Yasin semasa persidangan parlimen oleh rombongan SAPP yang
diketuai oleh YB Datuk Eric E. Majimbun, Ahli Parlimen Sepanggar. Salinan
surat rayuan tersebut juga telah disampaikan kepada Ketua Menteri Sabah,
Datuk Seri Musa Hj. Aman.
Sesiapa sahaja berhak memohon Kad Pengenalan (I.C) melalui proses-proses
yang sah dan telus menurut Undang-undang yang diaktakan kepada Jabatan
Pendaftaran Negara.
Tujuan dan objektif Parti Maju Sabah (SAPP) mendesak supaya RCI ditubuhkan
memandangkan beberapa faktor penting yang harus diambil kira:
-
Meneliti dan mengkaji kebanjiran PTI di Sabah;
-
Membuat penyiasatan yang terperinci terhadap kenaikan mendadak kadar
pertumbuhan penduduk di Sabah;
-
Memastikan pembersihan daftar pengundi di Sabah; dan
-
Membuat penyiasatan yang terperinci tentang pengeluaran Kad Pengenalan (Projek
I.C) kepada pemohon-pemohon yang tidak berkelayakan.
Sebagaimana yang diketahui Kerajaan telah menubuhkan beberapa badan
penyiasatan seperti Makmal PTI, Parlimentary Select Committee, pelancaran
konsep 5P dan 6P dalam tahun ini, tetapi malangnya tidak ada tindakan
lanjut dan keputusan muktamat dilaksanakan demi untuk menyelesaikan
masalah PTI yang sudah berlarutan sekian lama di negeri ini.
Dengan itu, atas rayuan rakyat Malaysia di Sabah dan desakan Parti Maju
Sabah, badan-badan NGOs dan parti-parti politik sama ada pembangkang dan
komponen Barisan Nasional Sabah, Kerajaan Pusat harus memberi pertimbangan
yang sewajarnya dan prihatin terhadap penubuhan Suruhanjaya Siasatan
Diraja (RCI) dengan segera.
|