SAPP Tenom bidas kenyataan Akjan pertahan bantahan RCI
TENOM: Naib Ketua Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) Pusat Rudy
Sulaiman Mairi, membidas kenyataan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan
Dakwah dan Islamiah Malaysia (Pekida) Sabah Datu Akjan Ali Muhammad yang
cuba mengaitkan perintah Allah dan Nabi Muhammad sebagai bahan terbarunya
semata mata untuk mempertahan bantahannya terhadap RCI adalah bersifat
terdesak dan keterlaluan.
Katanya, tidak ada bezanya dari segi perintah Allah jika pun rakyat
di negeri ini menuntut hak keadilan dengan penubuhan RCI supaya kekeliruan
mahu pun segala kecelaruan dapat diselesaikan dengan baik. Maka dengan
cara sedemikian merupakan satu petunjuk yang baik mengikut perintah Allah.
"Saya juga seorang Islam, sememangnya tahu apa batasan batasannya
termasuklah hukum hakam dalam Islam. (Jadi)…perkara lain yang ditekankan
Akjan supaya mentaati pemimpin pemimpin BN kerana bantahannya dengan
penubuhan RCI..ia sesuatu yang ganjil dalam sistem demokrasi yang
diamalkan dinegara ini, sedangkan tindakan mereka (BN) membelakangi hak
asasi rakyat, maka rakyat berhak untuk tidak mentaatinya," kata Rudy dalam
satu kenyataan disini pada Isnin.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Pemuda SAPP
Zon Pedalaman menegaskan
demikian sebagai mengulas kenyataan Akjan yang dilaporkan baru baru ini
sebagai berkata, bahawa Perkida pertahankan bantahannya terhadap penubuhan
RCI dengan alasan bahawa RCI tidak mampu menyelesaikan masalah berhubung
pendatang asing tanpa izin (PATI) dan peningkatan populasi diSabah.
Selain itu Akjan menambah bahawa Pekida merupakan NGO Islam yang terbesar
dinegara ini dan ianya mematuhi perintah Allah, antaranya menyeru orang
Islam agar taat kepada Tuhan, Nabi Muhammad dan kepada pemimpin pemimpin
mereka khususnya Barisan Nasional (BN).
Rudy menegaskan bahawa dakwaan Akjan kononnya RCI tidak mampu untuk
mencari punca kepada isu lonjakan populasi di Sabah kerana bayi dilahirkan
setiap hari merupakan satu andaian semata mata yang sengaja dicanang Akjan
untuk alasannya menidakkan penubuhan RCI daripada dilaksanakan kerajaan.
"Seperti yang dijelaskan oleh banyak pemimpin diSabah sebelum ini bahawa
penubuhan RCI bukan bertujuan untuk bermusuhan dengan kesukuan dan etnik
diSabah tetapi RCI merupakan landasan terbaik untuk menyiasat lambakan
ratusan ribu Kad Pengenalan yang dikeluarkan menerusi "pintu belakang" termasuk untuk mengetahui siapakah dalangnya. Lagi pun, penubuhan RCI
merupakan sebahagian daripada proses undang undang mengikut Perlembagaan
Negara," tegas Rudy.
"Macam mana Akjan tahu bahawa RCI tidak mampu untuk mencari punca masalah
tersebut sedangkan ia masih di peringkat perancangan dan belum dimulakan
lagi…malahan RCI bukanlah dikendalikan oleh seorang dua tetapi sebaliknya
ia dibarisi di kalangan pakar pakar undang undang, pesara pesara penjawat
tertinggi awam dan juga golongan professional," tambah Rudy lagi.
Oleh: Mail Mathew
|