Adakah Akjan dan Pekida ejen KL?
Oleh
Jamain Sarudin
BEAUFORT, Jan 4, 2012: Isu RCI sudah mendapat tempat dihati rakyat Sabah sebab
itu sahaja cara penyelesaian masalah Pendatang Tanpa Izin (PTI) dan isu "projek
IC" di Sabah.
Namun pemimpin dan kerajaan Persekutuan masih
berdiam diri tentang hal ini sedangkan RCI sudah pun disuarakan oleh semua
parti parti pembangkang dan parti parti komponan BN di Sabah. Demikian
dinyatakan oleh Jamain Sarudin dengan sokongan AJK SAPP Zon Selatan. (gambar)
Kenyataan Pengerusi PEKIDA Sabah, Datu Mohd Akjan Datu Ali Muhammad
mempertahankan bantahannya tentang RCI yang kononnya berdasarkan kepada
bantahan oleh pemimpin Barisan Nasional terutama sekali Menteri Dalam
Negeri Datuk Seri Hisammuddin Hussein yang sudah berulang kali menyatakan
bahawa RCI tidak mampu meyelesaikan masalah berhubung PTI dan peningkatan
populasi Sabah, adalah menjadi tandatanya kepada rakyat Sabah.
Adakah
Akjan dan Pekida menjadi ejen kepada pemimpin persekutuan dan Barisan
Nasional? Mengapa Akjan yang membuat kenyataan dan bukannya pemimpin BN
atau Menteri Persekutuan? Siapa Akjan yang perlu bagi nasihat kepada
rakyat Sabah? Sedangkan latar belakang dan kewarganegaraannya juga
dipersoalkan oleh banyak pihak. (bekas tahanan ISA).
Penyalahgunaan kuasa dan exploitasi PTI oleh pihak berkuasa dan parti
politik yang berkenaan di Sabah bukan lagi satu rashia. Berbagai bahan
bacaan dan penulisan buku sudah diterbitkan. Malah buku-buku seperti
tulisan M.D Mutalib telah menceritakan bagaimana projek IC itu berlaku.
Malah sudah beberapa kali laporan polis dibuat oleh berbagai pihak supaya
isi kandungan buku tersebut disiasat namun tidak ada apa-apa tindakan oleh
pihak yang berwajib. Jika penulisan-penulisan itu tidak berasas sudah
tentu pihak-pihak yang berkenaan sudah diambil tindakan. Lebih ketara lagi
dengan pertumbuhan penduduk yang mendadak di Sabah yang menjangkau 3.2
juta orang sekarang.
Pencabulan hak dan kedaulatan negeri Sabah tidak boleh dikompromi dengan
kuasa politik Kuala Lumpur dengan semata-mata berpolitik kononnya "membangunkan Sabah" tetapi mengabaikan tanggungjawabnya sebagai
pemerintah dan mengetepikan undang-undang Negara dalam hal masalah PTI dan
masalah "projek IC" di Sabah.
Rakyat Sabah berhak menuntut penubuhan RCI. Jika kerajaan persekutuan
enggan mendengar suara rakyat dan tidak mengambil tindakan yang sewajarnya
maka saya percaya bahawa rakyat Sabah lebih matang dan berkuasa untuk
menentukan masa depan mereka di PRU13 kelak. Hak dan kedaulatan Sabah
harus dipertahankan oleh Rakyat Sabah sendiri.
Jamain Sarudin ialah
Pengerusi CLC Lumadan/Kuala Penyu dan
Ahli Majlis Tertinggi SAPP.
|