SAPP Bukan Parti Cina: Amdee
KOTA
KINABALU, Januari 14, 2012: Parti Maju Sabah (SAPP) pada Jumaat menjelaskan bahawa ia bukan sebuah
parti politik Cina.
Timbalan Presidennya, Amdee Sidik, berkata ia adalah sebuah parti politik bukan
berasaskan kaum dan ini jelas dalam perlembagaan parti itu.
"Kami menekankan semula pandangan pelbagai kaum ini selepas SAPP menarik diri
daripada Barisan Nasional (BN) dimana tidak ada satu-satu kaum mendominasi kaum
lain dalam majlis tertinggi parti," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah tidak ada parti lain di Sabah yang mempunyai komposisi seperti
itu.
"Saya mudah marah apabila orang dan ahli politik pembangkang lain berkata SAPP
adalah sebuah parti politik Cina.
"Saya fikir pemimpin-pemimpin SAPP berhak untuk didengar suara mereka bahawa
SAPP adalah sebuah parti politik bukan kaum yang boleh dilihat dalam
perlembagaan parti itu sejak ia ditubuhkan," katanya.
Mengenai perkembangan lain, katanya, penganjur parti berpangkalan di Sarawak,
Parti Reformasi Negeri (Star), sepatutnya telah mengkaji dan meneliti semua
sudut khususnya kelemahan dari segi undang-undang ketika ia melebarkan sayapnya
ke Sabah.
Ini, katanya, selepas mengetahui kemungkinan ia dihalang oleh pihak berkuasa.
Rakyat Sabah, katanya, dilayan secara tidak adil.
"Sangat sukar untuk mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk sebuah
parti politik di Sabah," katanya sebelum menambah lebih-lebih lagi jika
permohonan itu adalah dari pemimpin-pemimpin terkenal tempatan dan jika orang
itu seorang Muslim.
"Kerana itu saya fikir Usno tidak akan didaftarkan selagi Umno masih ada di
Sabah," tegasnya.
Harian Ekspres
|