BN tidak komited isu tanah adat
LAHAD DATU, Jan 18, 2012 : Ahli Parlimen Tawau, Datuk Chua Soon Bui memberi
sokongan padu kepada penduduk asal Sabah untuk menuntut tanah adat mereka yang
didakwa dirampas oleh pihak tertentu.
Dalam satu kenyataan, beliau turut mengecam kerajaan Barisan Nasional (BN)
kerana tidak komited terhadap isu tanah adat berkenaan.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Parti Maju Sabah (SAPP) berkata demikian ketika
menghadiri pesta Tahun Baru Cina di Dataran Persatuan Akhlak Moral, di sini,
pada Sabtu lalu.
Menurutnya, isu berkaitan tanah adat itu telah berlaku sejak lebih sepuluh tahun
lalu, dan ia bukan sahaja berlaku di daerah ini malah di Tawau dan Semporna.
"Menurut pengetahuan saya, ada penduduk yang terbabit telah tinggal di kawasan
itu sebelum penubuhan Malaysia bahkan sudah melibat ke beberapa generasi"
katanya.
Sehubungan itu, beliau melahirkan kekesalan kepada kerajaan yang memerintah
kerana dilihat tidak komited berhubung isu itu sehingga timbul ketidakadilan
terhadap penduduk yang terbabit.
Berdasarkan undang-undang yang ada, tambahnya, tanah adat berkenaan wajib
dipelihara dan sekiranya terdapat bukti mengesahkan tanah terbabit ini milik
mereka ia seharusnya dipertahankan.
Utusan Borneo
|