Eric selar Tengku Adnan
KOTA KINABALU, Jan 31, 2012: Timbalan presiden SAPP, Datuk Eric Majimbun berkata
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor bertindak memalukan
apabila meminta dua Ahli Parlimen parti itu mengosongkan kerusi mereka.
"Ia adalah memalukan untuk meminta kami mengosongkan kerusi ketika pilihan raya
umum akan diadakan tidak lama lagi.
"Kalau dia ingat dia sangat berkuasa dan berpengaruh, beliau patut mengarahkan
agar Kerajaan Negeri Perak dibubarkan apabila beberapa wakil rakyat Parti
Keadilan Rakyat (PKR) bertindak keluar dan mengisytiharkan diri mereka sebagai
anggota Bebas yang menyokong BN untuk membolehkan BN berkuasa di Perak," katanya.
Eric yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata demikian dalam satu sidang media
di pejabatnya di Inanam kelmarin.
Beliau berkata demikian sebagai maklumbalas kepada Adnan yang meminta beliau dan
Ahli Parlimen Tawau, Datuk Chua Soon Bui mengosongkan kerusi, semasa melancarkan
jentera pilihan raya kawasan Parlimen Kalabakan baru-baru ini.
"Kalau mahu tahu siapa yang rakyat akan beri mandat, beliau patut arah Perdana
Menteri membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13.
"Saya juga mencabar Adnan datang dan bertanding dengan saya di Sepanggar,"
katanya.
Menurutnya, sikap kasar dan besar kepala segelintir pempimpin Umno seperti Adnan
itu hanya mendedahkan bahawa mereka mahu membuli rakyat negeri ini.
"Pemimpin BN terutamanya Umno dari kerajaan pusat cuba untuk membeli undi rakyat
dengan memberikan wang RM100 tetapi ini hanya mengajar anak sekolah bahawa
rasuah adalah budaya Malaysia.
"Kerajaan BN juga memberikan RM500 menerusi belanjawan dan pemimpin BN
mengatakan bahawa ia tiada kena mengena dengan politik tetapi baucer itu
diagihkan menerusi pemimpin politik BN" katanya.
"Bagaimanapun saya percaya rakyat negeri ini tidak boleh dibeli dengan wang
ringgit. Saya yakin orang Sabah sedar dengan usaha BN dan Umno itu," katanya.
Di sebalik pelbagai taktik menghalang yang digunakan katanya, SAPP tidak khuatir
dan tidak akan berganjak dari perjuangannya membela rakyat dan hak negeri ini.
Katanya, rakyat Sabah sendiri tahu penderitaan yang dialami dan masalah negeri
ini yang gagal ditangani kerajaan pusat terutama masalah tanah adat dan
kebanjiran pendatang tanpa izin.
"Apa yang Setiausaha Agung BN itu buat mengenai masalah peningkatan penduduk
yang luar biasa di negeri ini. Peningkatan sebanyak 390 peratus penduduk negeri
ini dalam tempoh 40 tahun boleh dianggap sebagai rekod dunia.
"Masalah ini juga sering disuarakan Pemimpin komponen BN lain tetapi tiada
apa-apa tindakan drastik dari pemimpin pusat" katanya.
Beliau berkata, BN juga kini terdesak untuk terus kekal berkuasa dan meneruskan
agenda tersendiri mereka.
"Memonopoli kekayaan dari negeri ini adalah agenda utama mereka..namakanlah apa
saja aktiviti, perniagaan dan sebagainya terutama kontrak dan projek tanaman di
mana kini ianya bukan lagi dimiliki orang Sabah.
"Hak Anak Negeri kita di bawah Ordinan Tanah juga semakin terhakis oleh Kuala
Lumpur dengan bantuan beberapa pemimpin tempatan" katanya.
Utusan Borneo
|