Projek Amonia apa faedah kepada rakyat?
Oleh
Supt (B) Kamis Daming (Feb 13, 2012)
Projek amonia dan urea di Kg Banting, Sipitang bernilai RM4.6 billion amat
memberangsangkan masyarakat setempat, tetapi sewajarnya kerajaan negeri Sabah
menjelaskan siapa yang mendapat untung dan impaknya kepada penduduk Sipitang.
Secara umum, semua orang boleh mengatakan kewujudan projek mega ini di daerah
Sipitang akan turut mempunyai kesan terhadap ekonomi penduduk setempat, namun
kerajaan sepatutnya menjelaskan secara terperinci mekanisma bagaimana projek
besar ini boleh memberi keuntungan kepada keseluruhan penduduk Sipitang yang
berjumlah lebih kurang 60,000 orang.
Peluang-peluang pekerjaan yang disediakan oleh kilang ini kelak memang tidak
dinafikan akan mendatangkan manfaat kepada penduduk Sipitang, tetapi berapa
orang sahaja penduduk Sipitang mempunyai kemahiran dalam bidang yang berkaitan
untuk mengisi jawatan-jawatan yang disediakan?
Manakala peluang pekerjaan yang akan wujud di kilang itu kebanyakannya adalah
teknikal dan mahu tidak mahu akan diisi oleh orang luar jika kerajaan tidak
memberi perhatian khusus terhadap perkara ini mulai dari sekarang.
Untuk mengatasi masalah ini dan bagi memberi peluang lebih ramai penduduk
Sipitang bekerja di kilang tersebut, kerajaan harus menyediakan sekolah atau
pusat latihan kemahiran dalam bidang yang berkaitan bagi menyesuaikan bidang
kemahiran yang diperlukan agar mereka boleh bekerja di kilang tersebut.
Setakat ini, belum nampak lagi sebarang kenyataan daripada pemimpin-pemimpin
kerajaan BN bahawa daerah Sipitang telahpun bebas daripada status miskin tegar.
Ini bererti di daerah Sipitang masih ramai lagi orang yang hidup di bawah paras
kemiskinan.
Apakah dengan kewujudan kilang ini nanti akan mendatangkan manfaat secara
langsung kepada golongan ini? Kerajaan harus memberi penjelasan mekanisma
bagaimana orang Sipitang yang hidup di bawah paras kemiskinan yang tidak
berpeluang atau tidak layak bekerja di kilang ini disebabkan faktor semula jadi;
contoh, usia, keadaan fizikal, kelulusan, kebolehan dan lain lain, mendapat
manfaat terus daripada projek ini.
Pemimpin BN harus juga memikirkan kaedah bagaimana warga emas di daerah Sipitang
yang kurang berkemampuan mendapat keuntungan daripada projek berbilion ringgit
ini, sebagai contoh, elaun bantuan khas bulanan, bantuan perumahan dan faedah
sampingan lain.
Apabila kita mengatakan projek ini akan turut memberi impak terhadap ekonomi
penduduk setempat, ia merangkumi keseluruhan penduduk daerah ini. Adakah penoreh
getah, nelayan, petani juga akan mendapat faedah secara langsung daripada projek
ini? Kalau ya, bagaimana caranya?
Projek mega berharga RM4.6 bilion bukan satu projek yang kecil. Air, elektrik
percuma, bantuan/biasiswa persekolahan, bantuan kematian yang berterusan bagi
penduduk Sipitang yang hanya berjumlah lebih kurang 60,000 orang; bukanlah
perkara yang mustahil untuk dilaksanakan jika kerajaan benar-benar serius
terhadap permasalahan rakyat.
Kita tidak mahu melihat sebuah syarikat gergasi hanya menjadikan Sipitang untuk
mengaut keuntungan bagi diri mereka sendiri dan tokoh tertentu di sebalik projek
keagungan BN ini.
|