Tidak umum RCI bukti Umno tidak telus
TENOM,
Feb 20, 2012:
Ramai yang kecewa apabila Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak langsung
tidak menyebut mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang
tanpa izin ketika kunjungan dua hari beliau ke Sabah, dakwa sayap Pemuda Parti
Maju Sabah (SAPP) Tenom.
Naib ketuanya, Rudy Sulaiman berkata ramai yang menunggu pengumuman itu dengan
penuh harapan dan ia umpama memperdayakan rakyat.
"Ia taktik kotor meraih undi daripada rakyat Sabah pada PRU-13. Kegagalan Najib
mengumumkan RCI jelas membuktikan ketidak-telusan Umno terhadap BN, " kata Rudy
sambil mencabar parti komponen BN seperti PBS, Upko, PBRS dan LDP keluar
daripada parti itu.
Sementara itu, Rudy mengingatkan rakyat Sabah agar tidak termakan dengan pujian
menggunung Perdana Menteri bahawa Sabah tidak lagi merupakan negeri yang miskin.
"Siapakah sebenarnya yang merompak kekayaan Sabah sebelum ini sehingga
dilabelkan oleh media antarabangsa sebagai negeri yang termiskin di Asia?," soal
Rudy.
Sekadar negeri kaya tidak membawa apa-apa perubahan sekiranya tidak memberi
manfaat dan hasil kepada rakyat, tambahnya.
Oleh Mail Mathew
------------------------------------
SAPP dakwa rakyat persoal keikhlasan BN isu RCI
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah kini mempersoalkan keikhlasan Barisan Nasional (BN)
dalam penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin
dan Projek IC, dakwa Parti Maju Sabah (SAPP).
Ketua Penerangannya, Chong Pit Fah berkata walaupun tiada pengumuman mengenai
RCI dibuat, Perdana Menteri selepas kunjungannya ke Sabah baru-baru ini, ingin
meraih mandat rakyat dan berikrar untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang
gemilang.
"Beliau berjanji akan sentiasa mendengar suara rakyat dan berkata beliau
mendengar dan akan lebih melakukannya dengan sokongan rakyat. Tapi, adakah
beliau mendengar sedangkan beliau langsung tidak menyebut apa-apa mengenai RCI?"
soalnya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.
Chong turut berkata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRlM),yang diagihkan ketika
pilihan raya umum seterusnya menjelang tiba bukan untuk membasmi kemiskinan dan
menaiktaraf hidup rakyat.
"sebaliknya Kerajaan perlu periksa dan hentikan' kenaikan harga barangan dan kos
hidup.
"Pada masa sekarang, apabila harga bahan bakar naik, harga barangan keperluan
juga naik, tapi apabila harga bahan bakar turun, harga barang berkekalan!
"Jika ini berterusan, Sabah akan sentiasa menjadi negeri termiskin di Malaysia,
tidak seperti yang diumumkan oleh kerajaan," katanya.
Chong berkata mungkin Kerajaan perlu menamakan negeri mana yang termiskin di
Malaysia sekarang.
Harian Ekspres
|