SAPP perjuang hak asasi tanah NCR selain baiki ekonomi negeri Sabah
TENOM: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee
menegaskan bahawa parti itu akan terus membela nasib rakyat yang tertindas
kerana masalah rampasan tanah dan hak asasi tanah anak negeri (NCR) seperti yang
berlaku di Kinabatangan, Serudong Tawau, Kudat, Tenom dan di Lahad Datu setelah
parti itu diberi mandat rakyat membentuk kerajaan baru selepas pilihanraya umum
kali ke-13 (PRU13).
Beliau berkata, rakyat cukup menderita jika keadaan sebegini berterusan apabila
hak rakyat yang miskin terus tertindas dimana tanah tanah dirampas, rumah
dirobohkan oleh syarikat syarikat gergasi dari luar Sabah, malangnya pihak
berkuasa khususnya PDRM tidak berbuat apa apa.
Beliau berkata demikian ketika menggulung ucapan sempena majlis penerangan dasar
reformasi tanah dan pelan perancangan ekonomi Sabah yang dihadiri para ahli SAPP
CLC Melalap dan Kemabong yang dihadiri kira kira 300 ahli SAPP diperkarangan
Hotel Perkasa dekat sini pada Selasa.
Hadir sama dimajlis itu, Penasihat SAPP yang juga bekas Menteri Kewangan semasa
era kerajaan Parti Berjaya Datuk Haji Mohd Noor Mansor, Timbalan Presiden SAPP
Datuk Eric Mojimbun (Penceramah dasar tanah), Adun Luyang Melanie Chia (Penceramah
Ekonomi), Timbalan Speaker Dun Datuk Frankie Chong, Adun Likas Datuk Liew Teck
Chan, para AMT SAPP dan Ketua Ketua CLC.
Selain itu, Beliau turut menolak tanggapan umum bahawa program Forest Management
Unit (FMU) yang ditubuhkan sekitar tahun 1998 sebagai satu penyalahgunaan tanah
yang tidak memberi menfaat kepada rakyat adalah tidak benar dan terpesong kepada
tujuan asal FMU.
"Sebenarnya, semasa saya menjawat jawatan Ketua Menteri dibawah sistem
penggiliran jawatan Ketua Menteri yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN)
pada ketika itu, kita mengkaji kesesuaian tanah tanah simpanan kelas dua yang
bekas dibalak supaya dipulihara dan diletakkan dibawah pengawasan FMU untuk
memberi peluang kepada rakyat yang tidak bertanah menerokai kawasan itu. Tujuan
kita untuk membantu membina semula kekayaan mereka dan bukan mengaut kekayaan
rakyat," tegas Yong.
"Saya sedih mendapat laporan bahawa kebanyakan masyarakat petani luar bandar
yang memiliki tanah tetapi tidak bergeran. Usaha telah dijalankan sehingga lebih
44 ribu geran berjaya dikeluarkan dalam masa yang singkat selama dua tahun
menjawat jawatan Ketua Menteri," tambahnya.
Presiden SAPP itu turut mempertikaikan pemberian geran komuniti atau lebih
dikenali sebagai geran komunal kepada rakyat dimana beliau menyatakan bahawa
ianya merupakan satu kerugian dan memberi harapan kosong kepada rakyat yang
berhak menduduki kawasan disitu kerana kehilangan kuasa mutlak untuk memiliki
dan memajukan tanah tanah mereka secara persendirian.
"Mereka diberi geran panjang..letakkan nama nama pemiliknya tanpa mengira asal
usul mereka dan selepas itu segala usaha penerokaan dan penanaman sudah ada
syarikat gergasi yang dilantik kerajaan untuk mengusahakannya. Manakala rakyat...sekadar
menjadi penonton," tegasnya.
Sementara itu, ketika menyentuh persiapan menghadapi PRU13 Yong berkata, beliau
meminta kepimpinan bahagian menggubal Manifesto berasingan disetiap kawasan DUN
yang ditandinginya bagi menjelaskan halatuju parti itu supaya rakyat akan
mengetahui perancangan yang bakal dilaksanakan selepas memenangi kawasan itu.
Katanya, rakyat perlu didedahkan dengan jelas halatuju parti yang bakal
dilakukan pemimpin itu menerusi Manifesto pilihanraya supaya rakyat tidak ragu
ragu memberi sokongan kepada setiap calon SAPP disesuatu kawasan yang
ditandinginya.
"Manifesto pilihanraya merupakan kandungan halatuju yang juga merupakan janji
pemimpin kepada rakyat yang harus dilaksanakan selepas dipilih rakyat pada
pilihanraya umum," kata beliau dihadapan kira kira lebih 300 ahli SAPP yang
menghadiri perjumpaan diperkarangan Hotel Perkasa pada Selasa.
.Presiden SAPP itu menggesa jentera pilihanraya disetiap bahagian supaya
dikemaskinikan dan mampu digerakkan pada bila bila masa untuk menghadapi
pilihanraya umum kali ke-13 (PRU ke-13) yang dipercayainya sudah hampir diambang
pintu.
Tambahnya, beliau optimis bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu
ditumbangkan sekiranya jentera parti kukuh dan sudah lebih bersedia menghadapi
PRU ke-13. Bagaimana pun beliau tidak menyatakan ada keperluan bergabung tenaga
dengan parti parti pembangkan luar Sabah untuk menumbangkan BN.
Diakhir majlis, beliau turut menerima kemasukkan ahli baru menyertai SAPP
seramai 80 orang yang diketuai bekas Setiausaha Sulit Menteri Kebudayaan Belia
dan Suka semasa era kerajaan PBS Dzulkifli Gunsika dan bekas Setiausaha Akhbar
kepada Datuk Kadoh Agundong Haji Wahab Timpai.
|