Projek naiktaraf landasan terbengkalai
TENOM:
Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Jimmy Jawatah terkilan dengan tindakan
kerajaan yang mengumumkan satu lagi projek bernilai RM3 billion untuk
pembangunan komersil Stesen Kereta Api Tanjung Aru sedangkan projek menaik taraf
landasan antara Beaufort ke Tenom masih terbengkalai.
Beliau berkata, keputusan itu tidak selari dengan matlamat asal kerana tidak
konsisten dalam melaksanakan sesuatu projek bagi tujuan penambahbaikan
infrastruktur Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS).
"Sebelum ini jabatan itu telah menerima peruntukkan RM400 juta tetapi sehingga
sekarang hampir lima tahun masih belum siap sepenuhnya.
"Kita tidak berniat untuk menentang niat dan hasrat murni kerajaan tetapi ia
sepatutnya memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah-masalah lain
terutamanya isu jentera lokomotif yang terlalu uzur menyebabkan kekerapan
perkhidmatan sering tergendala," kata beliau pada Ahad.
Beliau mengulas pengumuman Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berhubung
pembangun Komersial stesen kereta api Tanjung Aru bernilai RM3 billion pada
kelmarin.
Musa, antara lain, berkata pembangunan tersebut adalah untuk terus mengukuhkan
kedudukan Sabah sebagai pintu utama untuk pelaburan dari dalam rantau ini,
termasuk wilayah Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, dan kawasan pertumbuhan
Asean Timur (BIMP-EAGA).
Penduduk Pangi dan Rayoh, yang rata-ratanya petani, bergantung penuh kepada
perkhidmatan kereta api untuk ke bandar dan hospital namun rintihan mereka untuk
mendapat perkhidmatan kereta api yang baik tidak diutamakan kerajaan, katanya.
"Penduduk Pangi dan Rayoh lebih sebulan tidak dapat-mengeluaikan hasil pertanian
mereka ke bandar untuk dipasarkan kerana perkhidmatan kereta api yang sering
tergendala disebabkan jentera lokomotif selalu rosak kerana terlalu daif dan
uzur.
"Kerajaan sepatutnya menggunakan sebahagian daripada peruntukan RM3billion itu
untukmembeli beberapa jentera lokomotif baru dan bukan jentera yang terpakai
dari China," kata Jimmy sambil menyifatkan kerajaan gagal memenuhi kehendak dan
aspirasi rakyat.
Selain itu, Jimmy turut mempersoalkan kelalaian kerajaan dari aspek keselamatan
awam di mana semua lintasan antara stesen di Kinarut ke Tanjung Aru masih
beroperasi secara manual.
Beliau kemudiannya mempersoalkan aliran peruntukan RM400 juta untuk JKNS, dan
menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat perkara
itu yang dipercayai mempunyai kelemahan dan salahlaku pengerusinya.
Oleh Mail Mathew
|