Penduduk Beaufort derita tanpa air
BEAUFORT, Feb 27, 2012: Pelbagai rungutan dan aduan diluahkan, ternyata 2 minggu
tanpa bekalan air bersih bagi penduduk di Batu 58 sungguh memeritkan. Menurut
salah seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata, masalah bekalan
air ini menyebabkan beliau sukar untuk melakukan urusan harian di rumah termasuk
memasak dan mencuci. Beliau seorang balu yang tinggal dengan ibunya yang uzur
meminta kerajaan dan pemimpin masyarakat agar segera bertindak mengatasi masalah
yang membebankan itu.
Masalah ini dikatakan berpunca dari kerosakan pam air yang sering berlaku dan
menjadi punca beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan.
Jawatankuasa Parti Maju Sabah (SAPP) yang diketuai oleh Naib Pengerusinya Sanusi
Hj Taripin melakukan lawatan ke kawasan tersebut sebaik menerima aduan amat
terkejut kerana lokasi kampung tersebut hanya beberapa meter daripada loji
penapis air bagi Daerah Beaufort.
"Adalah sesuatu yang sukar diterima apabila melihat loji tapisan dan pam air
dapat dilihat tidak jauh dari kampung ini, tetapi penduduk pula tiada bekalan."
Beliau bersama Pengerusi CLC En. Thomas Chong dan Ketua Pemuda CLC En. Ramlan
Sajap melahirkan kekesalan apabila diberitahu, jabatan berkenaan hanya
menghantar bantuan air sekali sahaja pada Khamis minggu lalu, bermakna masalah
itu sudah diketahui. "Sikap sambil lewa pemimpin tempatan dan jabatan berkenaan
amat dikesali, sepatutnya bantuan bekalan air yang diangkut menggunakan lori
boleh dibuat memandangkan Jabatan dan wakil rakyat berkenaan mempunyai
peruntukan kontijensi untuk berbuat demikian.
Tambah beliau lagi, ianya bertentangan dengan slogan kerajaan yang dikatakan
mendahulukan rakyat tetapi gagal memberikan kemudahan asas seperti bekalan air.
|