SAPP telahpun menetapkan hala tujunya
KOTA
KINABALU: Bekas Menteri Kewangan Sabah, Datuk HJ Mohd Noor Mansoor berkata Parti
Maju Sabah (SAPP) mungkin mengharungi sendiri tanpa perlu bekerjasama dengan
parti pembangkang lain pada pilihan raya umum akan datang.
Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan agar ahli parti itu bersedia dan
terus berjuang menyakinkan rakyat negeri ini bahawa SAPP sudah sedia mentadbir
negeri ini dengan lebih baik jika dberi kepercayaan.
Katanya SAPP telah melawat hampir seluruh pelusuk daerah dan beliau mendapati
penerimaan serta sokongan rakyat terhadap parti itu semakin kukuh.
"Di Tenom saya telah beritahu bahawa Sabah kini berada di persimpangan jalan dan
tidak tahu ke mana hendak dituju tetapi SAPP tahu kerana parti ini telahpun
menetapkan hala tujunya," katanya semasa lawatan SAPP peringkat parlimen
Sepanggar di Inanam dekat sini dua hari lalu.
Beliau yang juga salah seorang penasihat SAPP berkata, Sabah seharusnya ditadbir
oleh kerajaan dari parti politik tempatan dan bukannya parti politik dari
Semenanjung.
Dasar SAPP sangat jelas bahawa kita sedia bekerjasama dengan mana-mana parti
pembangkang tetapi nampaknya kita tidak bolen percaya lagi.
"Kira perlu tolak parti dari Semenanjung. Mereka tiada tempat di sini. Sabah
adalah hak kita" katanya.
Mohd Noor mendedahkan bahawa ada juga orang yang bertanya kepadanya bagaimana
jika Upko keluar BN dan bekerjasama dengan SAPP.
"Jawapan saya adalah jangan peduli apa orang lain kata atau buat. Kita tumpu
sahaja kepada perjuangan kita. Bila sampai masanya kita akan buka pintu kita,"
katanya.
Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee pula tampil dengan nada yang lebih kuat
terutamanya mengenai Sabah yang kini katanya dilanda krisis serius berhubung Hak
Tanah Adat Negeri (NCR) dan Suruhanjaya Siasatan (RCI) untuk mengkaji tentang
masalah pendatang tanpa izin.
Menurutnya, sikap berdolak-dalik kerajaan pusat mengenai RCI dan sikap
melengah-lengahkan kerajaan negeri terhadap isu tanah NCR menimbulkan persoalan
yang menghantui rakyat negeri ini.
Yong berkata kedua-dua isu itu boleh diselesaikan dan SAPP mampu melakukannya
jika diberi mandat menerajui kerajaan negeri.
Katanya, SAPP mempunyai Dasar Reformasi Tanah Sabah yang antara kandungannya
boleh menyelesaikan isu tanah NCR termasuk mengembalilan kuasa mutlak dan
berkekalan tanah pusaka anak negeri kepada anak negeri.
"Jika menjadi kerajaan, SAPP juga akan mengeluarkan kad pengenalan khas iaitu IC
Sabah untuk rakyat negeri ini saja.
"Kalau ada IC Sabah, tiada RCI pun tidak apa. Kita tidak tahu sama ada mereka
mahu buat (RCI) atau tidak," katanya.
Menurutnya, IC Sabah akan membezakan rakyat Sabah dan labuan dengan orang asing
sekaligus menangani masalah pendatang tanpa izin dan rakyat asing yang memiliki
MyKad dengan cara meragukan.
Beliau berkata, SAPP juga telah merangka Pelan Ekonomi Sabah bagi mengeluarkan
negeri ini dari status termiskin di Malaysia.
Sementara, Ahli Parlimen Sepanggar, Eric Majimbun berkata sudah sampai masanya
untuk menukar kerajaan.
"Negeri ini dilanda pelbagai masalah tetapi tidak dipedulikan. Kalau tidak
dipedulikan, tiada tindakan maka kitalah yang harus bertindak. Sebab itulah SAPP
keluar dari BN. Kita mahu kembalikan hak Sabah. Ini boleh dilakukan dengan
menukar kerajaan yang ada sekarang," katanya.
Vitalis G Bingkasan, Utusan Borneo
|