Amaran agar tidak cakap tragedi Double Six: Yong
PENAMPANG,
Mac 2, 2012: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee berkata,
perintah Mahkamah Tinggi yang memintanya membayar RM1 juta kepada bekas Ketua
Menteri Tan Sri Harris Salleh merupakan amaran kepada penduduk Sabah supaya
jangan sekali-kali bercakap tentang tragedi Double Six yang mengorbankan bekas
Ketua Menteri Tun Fuad Stephens dan kesemua 10 penumpang yang menaiki pesawat
Nomad itu pada 6 Jun,1976.
Yong yang juga bekas Ketua Menteri berkata, apa yang beliau tahu, kuantum itu
adalah yang terbesar daripada segi ganti rugi yang pernah diberikan dalam saman
fitnah yang dibawa seseorang ahli politik terhadap ahli politik lain, di sini.
"Beberapa tahun lalu, Harris menerima RM50,000 dalam satu lagi kes saman fitnah
dan saya juga diberi RM50,000 setelah saya saman sebuah akhbar tempatan, Sabah
Times," katanya di suatu sesi pemimpin bersama rakyat di Donggongon Point,
Khamis.
Acara
itu, bertemakan "Pelan Pemulihan Tanah dan Ekonomi Sabah" dianjurkan
Jawatankuasa Perhubungan kawasan Moyog SAPP.
Walaupun kalah, Yong berkata, beliau akan terus berjuang untuk autonomi Sabah
dan untuk melihat Sabah bebas daripada cengkaman Kuala Lumpur dan ketidakadilan
yang dideritai Sabah di bawah kerajaan BN pimpinan Umno.
Beliau menyamakan manifesto DAP memberi autonomi kepada Sabah sebagai janji
kosong .
"'segala-galanya mengenai DAP di Sabah dikawal oleh para pemimpin DAP Kuala
Lumpur,'' katanya.
Beliau berkata, janji DAP untuk memansuhkan cukai jualan Minyak Sawit Mentah
bernilai RM1 bilion adalah cubaan untuk memberi semula 80 hingga 90 peratus
daripada jumlah itu kepada syarikat-syarikat utama perladangan kelapa sawit dari
Kuala Lumpur.
Yong menambah, jika ini berlaku Sabah akan mengalami kerugian RM1 bilion setiap
tahun dan syarikat-syarikat yang memang kaya dari Kuala Lumpur itu akan menjadi
bertambah kaya sementara Sabah menjadi lebih miskin.
Sabah akan menjadi pengemis kepada Putrajaya dan itulah yang DAP mahu," katanya.
Beliau berkata, janji DAP untuk memberi wang Petronas kepada setiap isi rumah di
Pulau Pinang, kira-kira RM60,000 setahun, akan melukai hati Sabah kerana wang
itu datang dari Sabah.
"Pulau Pinang tidak mengeluarkan minyak jadi wang Petronas itu tentunya datang
dari minyak yang digali dari Sabah," katanya.
Beliau berkata, Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang kaya maka dengan
memberikan penduduknya wang yang diambil dari sebuah negeri miskin seperti Sabah
adalah amat memalukan.
Para pemimpin DAP di Sabah juga tidak berani mengadakan acara walau sekecil mana
sekalipun tanpa kehadiran pemimpin dari KL.
Turut hadir ialah Pengerusi CLC Moyog Aloysius Danim Siap, penasihat SAPP Datuk
Mohd Noor Mansoor, Timbalan Presiden SAPP yang juga Ahli Parlimen Sepanggar
Datuk Eric Majimbun, Timbalan Presiden SAPP yang juga Adun Likas Datuk Liew Teck
Chan serta pemimpin parti yang lain.
|