Sabah boleh maju tanpa BN
KUALA
PENYU: Mac 4, 2012: Rakyat kini sudah sedar, negeri ini boleh maju walaupun
bukan diperintah oleh BN. Demikian dinyatakan oleh Datuk Frankie Chong di majlis
perjumpaan ahli-ahli SAPP Kg. Purun, Kuala Penyu.
Menurut beliau lagi, perjuangan Parti Maju Sabah (SAPP) untuk menuntut autonomi
bukanlah untuk membawa Sabah keluar dari Malaysia sebagaimana maklumat yang
diputarbelit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, tetapi adalah untuk
membolehkan rakyat Sabah menentukan hala-tuju mereka sendiri tanpa perlu
menyembah kerajaan Persekutuan. Kalau dilihat dari perkembangan Negara serantau
seperti Brunei dan Singapura, ternyata Sabah begitu jauh ketinggalan. Sabah
mempunyai minyak tetapi hasilnya tidak digunakan sepenuhnya untuk membangunkan
negeri sendiri.
Beliau optimis sekiranya SAPP membentuk kerajaan, kerajaan negeri boleh mencatat
pencapaian pendapatan sehingga 5 billion sepertimana terkandung di dalam Pelan
Ekonomi Sabah yang merupakan antara keratan manifesto SAPP. Pendapatan negeri
itu katanya akan digunakan untuk pembangunan negeri Sabah sepenuhnya.
Membangunkan semula cadangan penanaman tebu merupakan antara perancangan SAPP
untuk Kuala Penyu. Dengan demikian kebergantungan import gula dapat dikurangkan
dan penduduk setempat memperolehi pendapatan sampingan disamping peluang
pekerjaan dan perniagaan sampingan.
Terdahulu
dari itu, Pengerusi CLC N.26 Kuala Penyu Jamain Sarudin berkata, kerajaan SAPP
kelak menjamin setiap wang rakyat dibelanjakan dengan cara lebih baik dengan
mengambil kira keutamaan kerja dan kos yang lebih berpatutan, supaya lebih
banyak pembangunan dapat dibuat. JKKK pula akan memainkan peranan penting dalam
mengambil bahagian membangunkan kawasan masing-masing, mengembalikan objektif
asal penubuhan JKKK untuk Kemajuan dan keselamatan kampung.
En. Jualin Obol, Naib Pengerusi CLC di dalam ucapannya pula meminta supaya
parti-parti pembangkang dapat menjalinkan kerjasama bagi menumbangkan kerajaan
BN. Beliau menganggap perubahan besar yang bakal berlaku ujud kerana gelombang
kesedaran rakyat. Sikap bongkak dan sambil lewa pemimpin yang ada sekarang ini
amat memualkan dan tidak langsung menggambarkan usaha mereka membangunkan Kuala
Penyu. Sebaliknya mereka hanya berlumba untuk memenuhi keperluan dan keuntungan
peribadi biarpun mereka menyedari rakyat menghadapi pelbagai kesukaran hidup.
Turut hadir dimajlis tersebut ialah Thomas Chong Pengerusi CLC Klias dan
Membakut, Mohd Sanusi Hj Taripin, Naib Pengerusi CLC Klias serta Benjamin Ondoi
Naib Pengerusi CLC Membakut.
|