PM perlu mohon maaf kepada rakyat Sabah
KOTA
KINABALU: Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri
Najib Tun Razak perlu memohon maaf secara khusus kepada rakyat Sabah atas banyak
kesilapannya di sini, kata Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck
Lee.
Yong yang juga bekas Ketua Menteri, berkata Najib perlu memohon maaf kerana
beliau mendakwa Kerajaan BN menyebabkan Sabah menjadi sebuah negeri miskin.
"Najib perlu untuk memohon maaf kepada rakyat Sabah kerana kita adalah negeri
termiskin di Malaysia, kita mempunyai keadaan jalan yang teruk, kemudahan
kesihatan yang buruk, dibanjiri pendatang tanpa izin dan tiada subsidi
pengangkutan," katanya di booth khidmat SAPP di Pasar Minggu Jalan Gaya, di sini.
Beliau berkata Najib juga perlu memohon maaf kepada rakyat Sabah kerana beliau
gagal mengumumkan sama ada suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kebanjiran
pendatang tanpa izin di Sabah akan ditubuhkan atau tidak.
Turut
hadir adalah Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric
Majimbun, Timbalan Presiden merangkap Adun Likas Datuk Liew Teck Chan, Timbalan
Presiden Amde Sidik, Bendahari Agung Dullie Marie, Setiausaha Agung Datuk
Richard Yong, Ketua Wanita merangkap Adun Luyang, Melanie Chia, Ketua Pemuda
Edward Dagul, Ketua Penerangan Chong Pit Feh dan pemimpin parti lain.
Yong membuat gesaan itu susulan permohonan maaf Najib kepada rakyat di Baling,
Kedah.
Najib menyatakan permohonan maaf itu kepada rakyat bagi pihak Barisan Nasional
atas kesilapan yang menyebabkan pengundi menolaknya pada pilihan raya umum
sebelum ini.
"Kami belajar dari kesilapan dan kami memohon maaf.
"Pemenang memohon maaf... dan yang kalah juga memohon maaf," kata Najib.
Najib turut berkata BN akan menebus kesilapan itu dengan berkhidmat untuk rakyat
sebaik mungkin.
"Pada saya, kita jangan angluh dan bongkak. Sebab kita mesti tunduk kepada kuasa
rakyat dalam demokrasi berparlimen. Kalau rakyat tolak BN dulu mesti ada
kesilapan kita. Kita minta maaf atas kesilapan kita dulu," kata Perdana Menteri.
Yong
mendakwa Kerajaan Persekutuan memberi subsidi pengangkutan berjumlah lebih RM30
juta kepada Kelantan dan Melaka tetapi Sabah tidak memperoleh apa-apa.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan turut memansuhkan tol untuk dua jalan di
Selangor bernilai kira-kira RM83 juta dan memberi subsidi kepada empat pemegang
konsesi lebuh raya di Semenanjung bernilai kira-kira RM287 juta.
Beliau berkata, Sabah, selain menerima layanan buruk, keadaan jalan di seluruh
Negeri juga adalah buruk.
Yong selanjutnya berkata kemudahan kesihatan juga masih teruk dan tiada hospital
besar di sini.
Katanya, Sabah dibanjiri pendatang tanpa izin tetapi Kerajaan Persekutuan BN
tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikan masalah ini.
Menurutnya, kegagalan Najib untuk mengumumkan penubuhan RCI ketika kunjungan
beliau baru-baru ini turut mewajarkannya untuk memohon maaf kepada rakyat Sabah.
Mengenai sama ada SAPP akan bekerjasama dengan parti pembangkang lain, Yong
berkata rundingan dengan Star, Usno dan pemimpin komponen Pakatan Rakyat (PR)
seperti DAP dan Keadilan sedang dijalankan.
Bagaimanapun, tiada persetujuan kukuh dicapai.
Beliau berkata SAPP bersetuju bahawa ketua PR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadikan
Perdana Menteri sekiranya BN dikalahkan dalam pilihan raya umum akan datang.
|